Translate

Thursday, 2 August 2012

MARILAH MEMAHAMI RAMADHAN DAN AL 'EID

Salam semua..Rasanya, masih belum terlambat untuk kita sama-sama merenung dan membaiki diri. Terimakasih wahai mursyid yang sentiasa memberi panduan dan bimbingan.


MARILAH MEMAHAMI RAMADHAN DAN AL ‘EID
Menyambut Ramadhan dan Hari Raya telah bercampur di antara  Sunnah dan bid’ah.
Bercampur di antara syariat dan adat.
Menjadikan kemurnian Ramadhan dan ‘eid telah tercemar.
Ramadhan disambut dengan bulan makan-makan.
Adakalanya terjadilah pembaziran.
Menjadikan bulan Ramadhan belanja harian lebih daripada kebiasaan.
Setengah orang bulan Ramadhan lebih banyak rehat-rehat dan tidur-tiduran.
Puasa pula sekadar tidak makan dan minum, yang lain dilakukan.
Yang dikejar fadhilat, yang ditunggu lailatul qadar bukan bulan menebalkan taqwa dan iman.
Apakah kalau ternafi iman dan taqwa, fadhilat dan keutamaan lailatul qadar dapat?
Kedua-duanya itu bergantung di atas asas iman dan taqwa.
Kalau iman dan taqwa tidak dapat yang lain juga ikut tidak dapat.
Sunnah pemurah di bulan Ramadhan sudah tidak jadi tabiat.
Pemurah hanya pada diri sendiri hingga makan berlebih-lebihan.
Membaca Al Quran fikir hendak khatam bukan difaham dan hendakkan penghayatan.
Kerana itulah membaca Al Quran di bulan Ramadhan tidak dapat ilmu dan keinsafan.
Kalaupun berlaku pemurah di bulan Ramadhan bukan kerana iman dan keinsafan.
Pemurah lebih hendak mencari nama, publisiti dan kemasyhuran.
Kalau tidak diberitakan di dalam suratkhabar hanya senyap-senyap sahaja dia tidak akan memberikan.
Yang hafiz-hafiz Al Quran pula di masa Ramadhan peluang cari makan.
Sengaja meminta jadi imam di mana-mana masjid untuk mendapat upahan.
Sebelum itu berlaku tawar-menawar, kalau bayarannya sedikit tidak jadi menerima tawaran.
Apa sudah jadi dengan imam-imam hafiz Al Quran?
Mengapa jadikan Al Quran barang murahan, jalan cari makan?
Tidak malukah dengan Tuhan punya Al Quran?
Cuba renungkan, cuba beri jawapan moga-moga kita mendapat keinsafan.
Kemudian hari raya pula memang ditunggu-tunggu.
Ditunggu bukan dengan keinsafan, apakah ibadah sebulan diterima Tuhan?
Sepatutnya dengan perasaan sedih bulan rahmat, berkat, maghfirah sudah ditinggalkan.
Sepatutnya rasa malu apakah kita layak berhari raya, hari raya untuk orang bertaqwa.
Tapi disambut dengan adat dan khurafat.
Dengan perayaan-perayaan yang melalaikan dan kemungkaran.
Pertemuan-pertemuan bergaul lelaki perempuan di luar batasan Tuhan.
Di dalam bersukaria hari raya itu sembahyang fardhu dicuaikan.
Jadi Ramadhan sudah disalah-ertikan, raya juga disalah-ertikan.
Bercampur di antara agama dengan adat dan khurafat.
Bercampur di antara syariat dan bid’ah.
Kemudian mengharapkan fadhilat dan lailatul qadar serta keampunan Tuhan.
Anugerah orang besar dunia pun payah hendak dapat.
Inikan pula anugerah Tuhan apakah mudah hendak didapatkan?
Marilah kita memahami Ramadhan dan al ‘eid dengan pengetahuan.
Agar tahun depan kita hadapi Ramadhan dan al ‘eid mengikut syariat Tuhan.

9.11.2004 – 2
Waktu Asar

HARI RAYA MENGEMBALIKAN JASAD BATIN KEPADA FITRAH

Menyambut ‘eid atau Hari Raya ertinya menyambut pulihnya fitrah kita dari sakit batin.
11 bulan di dalam setahun fitrah kita ditimpa sakit rohani.
Fitrah di sini termasuklah fikiran kita, nafsu kita dan roh kita.
Sebulan di dalam setahun ia di’overhaul’ semula untuk dipulihkan.
11 bulan akal kita fikirkan yang bukan-bukan.
Fikirkan dunia, fikirkan perkara haram, fikirkan perkara yang sia-sia.
Jarang akal kita memikirkan Tuhan, Akhirat dan kebaikan.
Nafsu kita lebih-lebih lagilah sakit dengan tamaknya, dengan bakhilnya, dengan cinta dunianya.
Roh kita begitu juga, pemarah, sakit hati, dendam, dengki, tidak simpati dengan orang yang susah, tidak takut Tuhan, tidak cinta Tuhan, tidak rasa bertuhan.
Tidak terasa kebesaran Tuhan, hati tidak rasa hamba, hina, lemah, harap, tidak ada kuasa, malu, kerdil di hadapan Tuhan.
Di bulan Ramadhan dibagi ubat-ubatnya untuk pulihkan semula.
Ubat-ubatnya ialah puasa, sembahyang, membaca Al Quran, zikir dan berfikir.
Itulah dia pil-pil ruhani mengubat akal fikiran, nafsu dan hati atau roh.
Apakah pil rohani yang kita makan itu sudah menjadi ubat akal, nafsu dan hati?
Sudahkah akal kembali kepada fitrahnya?
Sudahkah nafsu kembali pulih kepada fitrahnya?
Sudahkah roh kembali kepada fitrahnya?
Jadi erti hari raya itu mengembalikan ketiga-tiga jasad batin atau rohani itu kepada fitrah yang murni.
Berfikiran seperti kehendak Tuhan, bernafsu mengikut kehendak Tuhan.
Berperasaan mengikut kehendak Tuhan.
Kalau ketiga-tiga anggota batin pulih kepada fitrahnya.
Ertinya hasil Ramadhan dia mendapat iman dan taqwa dari Tuhan.
Layaklah berhari raya al ‘eid penutup Ramadhan  kalau ketiga-tiga jasad batin pulih kepada fitrahnya.
Layaklah dia mendapat rahmat, berkat, maghfirah, redha dan lailatul qadar dari Tuhan.
Masalahnya anggota batin ketiga-tiga itu apakah ia sudah dipulihkan oleh Ramadhan.
Kembali tunduk kepada perintah Tuhan.
Membesarkan-Nya, takut kepada-Nya, citna kepada-Nya, menyerah diri kepada-Nya, rasa dikuasai oleh-Nya.
Kalaulah umat Islam majoriti anggota batinnya kembali kepada fitrah yang murni hasil Ramadhan.
Umat Islam selepas Ramadhan menjadi malaikat berwajah insan.
Gejala masyarakat selesai, jenayah berlaku terbatas .
Ada orang miskin tapi terbela.
Ada orang susah tapi tidak susah.
Ada perselisihan faham tapi tidak berpanjangan.
Ada salah dan silapnya tapi mudah diinsafkan.
Tapi apa yang berlaku kepada umat Islam Ramadhan atau bukan Ramadhan sama sahaja.
Kerana konsep kedatangan Ramadhan sudah disalah-ertikan.
Umat Islam mengejar fadhilat bukan mengejar iman dan taqwa dari Tuhan.

No comments:

Post a Comment