Translate

Tuesday, 24 July 2012

MENGAPA KITA PERLU BERPUASA SEBULAN DALAM BULAN RAMADHAN SETIAP TAHUN.


Bersyukur kita, ke hadrat Allah swt, hari ini Ramadhan yang keempat tahun 1433H, barulah berkesempatan untuk menulis di blog ini. Sekejap sahaja masa berlalu, hari ini ada berita yang sudah tertulis dan tersurat, ayah mertuaku baru sahaja pulang ke rahmatullah pada tengahari selepas zohor hari ini, moga beliau dalam rahmat dan kasih sayang Allah, perginya dalam minggu pertama Ramadhan, innalillahiwainnailaihiraajiuun, Al Fatehah kepada arwah Ahmad, ayah mertuaku...

Begitulah, jika Allah nak panggil tak ada tangguh-tangguh lagi,tak ada nanti-nanti lagi, kita manusia yang suka bertangguh-tangguh dan merancang pelbagai perkara yang melibatkan hal-hal dunia, jika melibatkan akhirat kita suka tangguh, tunggu dulu...ada banyak masa lagi...begitulah hakikat hidup...

Dalam pada itu, Mari kita fahami daripada kuliah mursyidku..sungguh besar jasa guru dalam memberi ilmu untuk mendidik,,marilah kita memahaminya sebelum kita pula dipanggil mengadap ilahi..

Apa Maksud Allah Memerintahkan Kita Berpuasa Selama Sebulan Pada  Setiap Tahun?

Merujuk kepada Al-Quran, tujuan berpuasa adalah untuk bertaqwa. Allah
 berfirman  dalam  surah Al-Baqarah ayat 183, ertinya;

    “ Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa  sebagai mana   yang diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa”

Berpuasa rupanya dapat mengakibatkan seseorang hamba Allah bertaqwa kepada Tuhannya yakni bilamana Ramadhan dilalui dengan tepat dan penuh penghayatan. Kalau bukan caranya, berpuasa di bulan Ramadhan hanya menghasilkan lapar, dahaga dan keletihan sahaja, sia-sia.

Dalam setahun kita telah melalui berbagai-bagai cabaran hidup yang boleh merosakkan ketaqwaan kita kepada ALLAH. Bila manusia tidak bertaqwa, mereka akan hilang wibawa dan kemanusiaan. Manusia menzalim, menindas, menipu, mementingkan diri, jatuh menjatuhkan, hasad dengki, pemarah, takabur, bakhil, berdendam dan lain-lain. Masyarakat manusia tidak lagi berkasih sayang, bekerjasama., bertolak ansur dan bertolong bantu. Sebaliknya akan berebut-rebut, berkrisis, bertelagah dan berperang. Peperangan antara suami isteri, anak dengan ibubapa, murid dengan guru, buruh dan majikan, rakyat dengan pemimpin dan lain-lain. Manusia hilang kemanusiaan. Masyarakat manusia tidak berwatak manusia lagi! Bertukar kepada watak syaitan dan haiwan.

Allah SWT yang Maha Adil lagi Bijaksana, yang menjadikan manusia ,tahu di mana kekuatan dan kelemahannya, tahu bagaimana menguatkan yang lemah, menyuburkan yang kuat, tahu punca kekuatan dan kelemahan, telah memilih sebulan Ramadhan untuk jadi ubat kepada setahun penyakit. Berpuasa dan ibadah-ibadah tambahan Ramadhan itu mampu menyelesaikan  masalah-masalah selama setahun. Umpama kereta yang letih dan lemah setelah setahun digunakan, overhaul sebulan cukup untuk sihat semula. Ya, Ramadhan datang untuk overhaul  manusia supaya  dapatkan kemanusiaan semula.

Rugilah orang-orang  yang  gagal menjadikan ibadah-ibadah Ramadhan untuk membaik pulih kemanusiaan mereka. Macam ruginya orang yang diberi kereta tapi tidak pandai mengguna atau tersalah guna.

B. Bagaimana Ramadhan Overhaul  Hati Manusia?

Terdapat pakej ibadah yang cukup hebat dan berkesan, kuat menguat satu sama lain, supaya manusia dibaik pulihkan sepanjang Ramadhan. Allahlah yang punya pakej ini  Maha pakar dalam merawat jiwa, fikiran dan fizikal manusia supaya kembali suci sesuci fitrah semulajadinya. Pakej itu ialah ibadah puasa, terawih, baca Quran, zikir, tasbih, paling asas adalah mujahadah untuk melawan nafsu. Seseorang yang sanggup melakukan keseluruhan pakej ibadah ini dengan serius dan penghayatan, sungguh akan memperolehi satu kekuatan roh, mental dan fizikal untuk meneruskan perjuangan sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi. Membawa bersamanya segala sifat-sifat baik seorang manusia seperti  merendah diri, pemurah, berkasih-sayang terutama dengan orang miskin dan susah, tawakkal, sabar, tenang, adil, berbaik sangka, sanggup meminta maaf dan memberi maaf, bertolak ansur, jujur, mementingkan orang lain dan lain-lain. Kalau ada manusia begini, dimuka bumi ini dan tentunya ada, ketahuilah bahawa pada merekalah Allah akan pusakakan bumi ini untuk ditadbir. Sebab Allah berjanji untuk menutup bumi ini dengan keadilan oleh orang-orang yang mereka itu cintakan Allah dan Allah juga cintakan mereka.

C. Bagaimana Ibadah Memproses Ketaqwaan Manusia

Allah jadikan manusia makhluk yang wajib berusaha dan berikhtiar untuk berjaya dalam apa juga bidang. Kejayaan tidak jadi sendiri kepada manusia. Manusia perlu bertarung, berjuang untuk kejayaan besar mereka. Nelayan mengharungi gelombang laut, petani melawan panas terik, ibu bertarung dengan kesusahan melahirkan anak, bapa tercabar dalam melakukan tanggung jawab pada keluarga, guru berhadapan dengan ragam murid, pemimpin paling teruk berhadapan dengan 1001 jenis kesusahan dalam kepimpinan. Untuk mengalahkan nafsu dan syaitan, Allah mewajibkan peperangan yang paling besar dan dahsyat yang tak dapat dilihat oleh mata kerana ia bersifat rohani dan maknawi. Hanya orang yang mampu melepasi halangan-halangan nafsu sahaja yang layak mendapatkan taqwa. Ketaqwaan adalah sijil atau ukuran paling mulia untuk seseorang manusia menjadi sesempurna manusia . Tanpa taqwa, PhD, harta, pangkat tidak menjamin manusia dapat dikembalikan kepada kemuliaan yakni kemanusiaannya. Orang kaya, berpangkat dan berijazah tapi yang bertuhankan hawa nafsu akan jadi sejahat-jahat manusia sedangkan dengan taqwa, orang miskin pun jadi mulia apa lagi kalau orang kaya yang bertaqwa!

Sebab itulah saya katakan ibadah paling asas dalam pakej Ramadhan ialah mujahadah terhadap nafsu. Yakni usaha-usaha memaksa diri sendiri untuk melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangannya. Mujahadah ialah sanggup menyiksa diri sendiri dalam usaha untuk menunaikan perintah-perintah Allah kerana kebaikan yang diperintahkan bertentangan dengan kehendak nafsu liar dalam diri. Contoh, untuk berkasih sayang seperti yang Allah Taala perintahkan, seseorang sanggup menelan marahnya pada seseorang dengan penuh sabar. Tahan marah dan sabar itu sungguh menyiksakan . Orang-orang yang tahu selok beloknya sahaja yang boleh melakukan dengan pertolongan Allah. Mujahadah memang menjemukan, nafsu benci dan meletihkan . Siapa sanggup tersiksa atas cita-citanya? Hanyalah orang yang berjiwa besar. Sebab letih fizikal boleh rehat, tapi perang dengan nafsu tak boleh rehat-rehat. Kalau rehat nafsu lagi manja dan mengada-ngada. Perang yang tak rehat-rehat inilah dikatakan perang paling berat dan dahsyat.

Terdapat tiga pemangkin yang Allah sediakan untuk mendorong mujahadah ini di Bulan Ramadhan iaitu:
1.       Puasa yang dihayati
2.       Sembahyang yang khusyuk
3.       Baca Quran yang dijiwai
  
Mujahadah adalah satu jalan Untuk seseorang menuju Allah
Tanpa mujahadah adalah mustahil seorang hamba sampai kepadaNya,
Kerana yang menjadi penghalang Seseorang itu menuju Allah, Ialah syaitan dan nafsunya,
Tapi nafsu adalah lebih menghalang Dari syaitan laknatullah
Kehendak nafsu dengan kehendak Tuhan Biasanya selalu sahaja berlawan,
Disinilah perlunya bermujahadah Bersungguh dan bermati-matian,
Bermujahadah adalah sangat menjemukan,
Bermujahadah adalah terseksa dan menyakitkan,
Tapi disinilah pahalanya Yang besar dari Tuhan,
Bermujahadah ada kalanya Sangat susah dan payah,
Ada juga dengan rahmat Tuhan Bermujahadah dipermudahkan,
Tapi para rasul dan para nabi
Dengan anugerah Tuhan dipelihara Tuhan, Mereka diberi kelebihan
Tanpa mujahadah menuju Tuhan,
Mereka itu orang istimewa dan orang Tuhan,
Terlepas daripada syaitan dan bebas daripada nafsunya,
Mereka adalah orang pilihan Tuhan,
Kerana mereka hendak dijadikan Contoh dan ikutan,
Mereka itu benar-benar orang Tuhan dan wakil Tuhan,
Untuk diikut oleh manusia berbagai-bagai lapisan 
Kita yang bukan rasul dan nabi ini, Kenalah bermujahadah,
Di dalam bermujahadah mintalah pertolongan dengan Tuhan,
Agar dibantu Tuhan di dalam bermujahadah Melawan nafsu dan syaitan,
Bertawasullah selalu dengan Rasul dan mursyid,
Meminta tolong di dalam bermujahadah Agar dimudahkan oleh Tuhan,
Bermujahadahlah secara istiqamah dan jangan jemu-jemu,
Nanti dengan rahmat Allah mujahadah kita dipermudahkan.


No comments:

Post a Comment