Translate

Thursday 16 August 2012

KULIAH TENTANG TAQWA

ERTI SEBENAR TAQWA
Basmalah

“Hendaklah kamu mencari bekal, sesungguhnya sebaik-baik bekal itu adalah sifat taqwa.”

Para hadirin yang dikasihi sekalian dan anak-anak yang saya cintai.
Pada hari ini itulah ayat yang Allah ingatkan pada saya. Mungkin di sekitar ayat inilah kita akan cuba mentafsir. Moga-moga Tuhan dengan rahmat dan nikmatNya memberi ilmu kepada saya untuk kita dapat menafaatkan bersama. Dalam ayat yang ringkas tadi saya terjemahkan maknanya:

“Hendaklah kamu mencari bekalan, sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah sifat taqwa.”
Banyak ulama ertinya ustaz-ustaz yang menghurai ayat ini bahawa sifat taqwa itu adalah bekalan untuk negeri akhirat yaitu negeri yang kekal abadi. Tak dapat dinafikan itulah yang paling penting, itulah yang paling asas. Supaya faham orang mukmin kalau dia nak senang juga di dunia mesti berbekalkan sifat taqwa. Itu adalah sampingan bagi orang mukmin untuk hidup di dunia sementara waktu. Mengapa saya katakan bekalan orang mukmin untuk dunianya adalah taqwa? Kerana sifat taqwa ini merupakan jalan atau landasan untuk mendapatkan kebaikan di dunia. Nak dapatkan keuntungan dalam ekonomi mesti dengan sifat taqwa. Nak dapat kemenangan dalam perjuangan  mesti ada taqwa. Nak dapat bantuan dalam pertolongan Tuhan juga adalah kerana taqwa. Nak terlepas daripada bala bencana atau azab penderitaan di dunia mesti berdasarkan sifat taqwa.

Jadi di sini kita lihat bukan saja sifat taqwa itu penting di akhirat, memanglah itu yang utama. Tapi untuk orang mukmin juga untuk dia mendapat pertolongan Tuhan, mendapat berkat, dapat kekayaan, kebahagiaan, kejayaan mestilah sifat taqwa itu sudah ada di dunia. Kalau Tuhan bantu orang Islam bukan atas dasar taqwa ertinya  kita minta Tuhan membantu orang Islam sama seperti yang Tuhan bantu kepada orang kafir. Dapat juga bantuan, dapat juga pertolongan tapi atas dasar istidraj yakni kemurkaan. Seperti tipuan sebenarnya dari Tuhan. Akhirnya dengan bantuan itu dia terjun ke neraka. Dan dengan bantuan itulah dia akan membuat kezaliman, kejahatan di atas muka bumi. Kerana mendapat sesuatu dari Tuhan secara tidak sihat. Maka hasilnya juga tidak sihat, natijahnya tidak sihat, rosak merosakkan.

Di sini hendaklah kita faham bahawa sifat taqwa itu bukan untuk akhirat saja tapi perlu di dunia lagi. Sebab kalau orang Islam itu tidak ada sifat taqwa Tuhan bantu juga, Tuhan bagi makan juga, Tuhan bagi ilmu juga selama mana mereka hidup. Tapi cara itu bahaya. Tuhan bagi secara kutukan, Tuhan bagi secara murka, Tuhan bagi secara tak redha. Ini bahaya sekali. Jadi perlu sifat taqwa supaya segala bantuan atas dasar itu.

Kerana pentingnya sifat taqwa untuk keperluan hidup di dunia dan di akhirat bagi orang Islam, maka sebab itu sifat Taqwa dijadikan salah satu rukun khutbah. Ertinya kalau tertinggal rukun maka khutbah tak sah. Bila khutbah tak sah, tak sah sembahyang Jumaat, tak sah sembahyang sunat hari raya. Ini menunjukkan besarnya sifat Taqwa itu hingga menjadi rukun khutbah.

Bila disebut taqwa orang terjemah hendaklah takutkan Tuhan. Itu tak betul. Taqwa itu bukan maknanya takut. Takut adalah salah satu sifat mahmudah yang berada di dalam taqwa. Dalam bahasa Arab takut itu dikatakan khauf. Ia merupakan salah satu sifat terpuji. Sedangkan sifat taqwa itu global. Yakni himpunan dari keseluruhan sifat mahmudah. Ada sabar, redha, pemurah, kasih sayang, pemaaf, memberi maaf, meminta maaf. Seluruh sifat mahmudah itulah taqwa. Sedangkan khauf atau takut itu adalah salah satunya dari himpunan sifat taqwa. Tapi pelik mengapa ulama berkata ittaqullah, hendaklah kamu takutkan Allah.

Mari kita bahas tentang nahu, saya bukanlah pakar nahu sebab saya bukannya orang Arab. Mengaji bahasa Arab tak adalah macam tuan-tuan dan puan-puan sampai Jordan sana. Kalau saya silap nanti mintalah tolong betulkan kepada orang-orang tertentu.

Ittaqu itu dari perkataan wiqayah – waqayati – wiqayatan bukan maknanya takut tapi terpelihara. Tapi mengapa diterjemahkan hendaklah kamu takut. Sedangkan takut itu hanyalah salah satu dari himpunan sifat taqwa. Ertinya kalau kata Ittaqullah, maknanya ialah hendaklah engkau memelihara diri dgn Tuhan. Takut salah satunya. Tapi mengapa diterjemahkan hendaklah takutkan Allah, tak betul.

Jadi bila dikatakan Ittaqullah itu bermaksud :
- Hendaklah engkau jadikan Tuhan itu pelindung
- Hendaklah engkau jadikan Tuhan itu kubu
- Hendaklah engkau jadikan Tuhan itu benteng

Bila sudah berada dalam benteng Tuhan benda-benda negatif tak masuk. Ditembak macam manapun terpelanting, tak terjejas. Ittaqullah itu ertinya terpelihara. Dah banyak istilah-istilah disalah gunakan. Sebab itu bila disebut tak terasa apa-apa, tak ada berkat. Setiap minggu hari Jumaat dilaung-laungkan di mimbar tapi tak terasa. Rupanya perkataan wiqayah itu dipersempit. Sebenarnya gudang mahmudah. Dalamnya itu ada sabar, redha, takut, pemaaf, kasih sayang dan lain-lain lagi sifat mahmudah, sifat terpuji. Darimana asalnya saya pun tak tahu. Kalau kita terjemahkan begitu nanti orang sesatkan pula. Jadi nak elak orang fitnah kita terpaksa kita terjemahkan ittaqullah itu ialah hendaklah kamu takutkan Tuhan. Patutnya kalau kita nak kata hendaklah kamu takutkan Tuhan maka kita kata:
Ayuhal hadirun khofullah!

Kerana begitulah orang terjemah maka kita terjemah macam tu juga, tapi kita faham seperti yang saya cakap tadi. Besarnya erti taqwa itu, aset untuk orang Islam dunia dan akhirat. Barulah selamat dunia akhirat.

Mari kita baca satu ayat lagi yang menerangkan bagaimana kita boleh dapat wiqayah dari Tuhan yang orang terjemahkan takut itu. Macam mana nak dapat taqwa.

Ya ayyuhallazi na amanuttaqullaha, wabtaghu ilaihil wasilata wa yujahidu fisabilihi laallakum tuflihun.
“Wahai orang mukmin hendaklah kamu bertaqwa pada Allah, hendaklah kamu mencari wasilah atau jalan untuk sampai bertaqwa pada Tuhan dan hendaklah kamu berjuang pada jalannya, moga-moga kamu mendapat kemenangan di dunia dan di akhirat.”


Taqwa itu penting, kita dah huraikan tadi itu merupakan aset umat Islam dunia dan akhirat. Keselamatan dunia dan akhirat. Untuk mendapatkannya dalam ayat tadi ada dua jalan:


1. Cari wasilah yakni perantaraan yang sampai kepada Tuhan. Jalan-jalan supaya kita dipelihara Tuhan.
2. Berjuang pada jalan Allah.


Apa maksud wasilah? Ada dua pengertian:

1. Membuat kerja-kerja kebaikan, kebajikan, amal-amal soleh samada berbentuk hablumminallah dan hablumminannas. Kita akan sampai dipelihara Tuhan nanti, sampai kepada Tuhan. Ertinya Tuhan terima, Tuhan redha lalu Tuhan akan jamin keselamatan kita dunia dan akhirat.

2. Yang lebih utama dari pengertian tadi ialah kalau kita bukan wasilah, kecuali kita memang wasilah. Kebanyakan orang ramai bukan wasilah. Jadi buat orang ramai cari wasilah dengan erti yang kedua yaitu guru yang memimpin kita kepada Tuhan supaya sifat taqwa kita miliki. Atau dengan kata-kata lain kita dapat lindungan, peliharaan dari Tuhan. Kalau tidak ada guru yang bawa dan pimpin tangan kita maka takkan sampai. Walau orang itu beribadah kuat macam mana pun tapi tak ada mursyid insyaAllah dalam bab agama syaitan yang pimpin mereka.

Sebab itu Sayidina Ali berkata, barang siapa yang tak ada syeikh atau guru maka syaitanlah yang akan jadi gurunya. Sebab itu kita baca sejarah silam, banyak abid-abid yang sudah zuhud, yang sudah menghabiskan masa dengan ibadah, terputus dengan dunia, kagum kita dengar tapi banyak disesatkan oleh syaitan. Dalam Quran diceritakan seperti Bal’am, Barsisa dan lain-lain lagi sebab dia tak ada guru, tak ada mursyid. Begitu hebat ibadahnya walaupun sampai tinggal dunia rupanya dalam bab agama syaitan jadi guru atau mursyidnya. Jadi kalau kita tak jadi wasilah kena cari wasilah, itulah guru mursyid. Kalau zaman rasul, rasulullah guru mursyid. Zaman khalifah maka khalifahlah guru mursyid. Bila ada mujadid maka mujadidlah. Waktu ada mujadid maka ulama juga patut bergurukan mujadid. Kalau mereka bersendiri sekalipun pakar tafsir, pakar feqah, pakar tasawuf maka dia akan tersesat. Berdasarkan ayat tadi maka wajib mencari wasilah.

Maka fahamlah kita makna wasilah itu dua.
1. wasilah itu adalah amalan-amalan yang boleh mendekatkan kita dengan Tuhan. Samada hablumminallah dan hablumminannas.

2. Cari guru mursyid yang boleh memimpin kita kepada Tuhan, yang boleh bawa kita kepada Tuhan, yang boleh mendekatkan diri kita kepada Tuhan. 
 Itulah yang dimaksudkan Hadis

Hendaklah kamu bersama Tuhan, kalau tak boleh juga hendaklah kamu bersama orang yang boleh bersama Tuhan, yang boleh memimpin kita kepada Tuhan.”

Itulah maksud wasilah. Mencari wasilah untuk tujuan menjaga diri kita untuk keselamatan dunia dan akhirat. Itulah maksud ittaqullah. Selesai wasilah yaitu jalan kepada Tuhan. Tarikat itu termasuk wasilah, rugilah siapa tak ada tarikat lagi.

Walaupun kita ada wasilah, ada guru yang memimpin kita membuat amalan-amalan kebajikan, amalan-amalan soleh samada hablumminallah dan hablumminannas mesti ada jihad perjuangan. Tak ada jihad tak boleh pergi sekalipun ada pergi. Jadi ditafsirkan tak boleh kita pisahkan jihad itu sendiri, wasilah itu sendiri. Hendak laksanakan wasilah takkan mampu kalau tak ada jihad. Jihad melawan nafsu, jihad melawan musuh-musuh luar yang agak mengganggu juga. Yang paling mengganggu adalah nafsu. Walaupun ada guru penunjuk jalan, itulah yang dikatakan wasilah. Membuat amalan-amalan soleh itu juga adalah wasilah tunjuk ajar guru. Bila nak berjaya terpulang pada diri orang itu. Guru sudah tunjuk jalan adalah ditentukan oleh sejauh mana dia boleh bermujahadah.

Kalau dia boleh mujahadah, boleh berjihad dengan baik samada mengenai musuh-musuh luar, terutama musuh batin, dengan jihad itu menggunakan wasilah itu barulah sampai kepada Tuhan. Jadi tak boleh dipisahkan jihad dengan wasilah. Tapi hari ini seolah-olah jihad lain, dulu lain. Kita kata wasilah dengan amal kebajikan itu lain. Jihad itu nak lakukan dua perkara ini. Hendak menafaatkan wasilah ini, hasil tunjuk ajar guru dia dapat mujahadah. Hendak berbuat tu gangguan banyak.

Sebab itu Tuhan senaraikan wasilah lepas itu jihad. Wajahidu fisabilihi. Jadi kalau wasilah itu kita faham dan kita hayati selain untuk jayakannya menggunakan jihad – mujahadah, mujahadah ke luar dan ke dalam dengan ilmu, dengan faham, dengan pimpinan, dengan mujahadah maka apa kata Tuhan la’alakum tuflihun – moga-moga kamu mendapat kemenangan dunia dan akhirat.

Itupun Tuhan baru kata moga-moga, masih khuatir tak confirm. Padahal Tuhan sudah tunjukkan jalan. Sudah faham jalan tapi moga-moga saja engkau mendapat kemenangan. Ertinya di situ ada rahsia. Mungkin di hujung-hujung ada kebimbangan. Sebab syaitan akan buru kita hingga mati. Takut di hujung waktu sakaratul maut failed, terkandas. Sebab itu Tuhan berkata moga-moga engkau mendapat kemenangan. Masih khawatir lagi Allah. Syaitan tunggu. Walaupun di perjalanan dia tak dapat tipu tapi dia tunggu di hujung. Begitu berdendamnya syaitan. Kalau waktu nazak dia dapat sudah tak sempat taubat. Kalau dalam perjalanan masih ada peluang bertaubat. Kalau kita fikirkan ini cemasnya menghadapi kematian. Bukan soal azab tapi takut-takut kita failed last minute. Sebab itu kalau orang fikir mati hilang selera untuk buat maksiat.

Jadi taqwa itu penting yaitu semua mahmudah-mahmudah yang dikehendaki tak perlu saya sebut lagi. Rupanya hendak memiliki sifat taqwa bukan hanya sifat takut saja, tak cukup. Nak memiliki sifat taqwa yang di dalamnya ada berbagai-bagai sifat mahmudah mesti ada wasilah. Wasilah ada dua yaitu guru dan tarikat atau amalan kita samada bentuk hablumminallah dan hablumminannas. Termasuklah nasyid-nasyid. Untuk menjayakan wasilah perlunya jihad, mujahadatun nafsu terhadap musuh luar tapi yang utama musuh dalam yaitu nafsu dan syaitan yang sangat bahaya. Lebih bahaya daripada musuh-musuh luar.

Jadi kalau kita faham erti taqwa, ada ilmunya, dihayati, ada guru yang membawa kita serta kita gunakan tenaga jihad melalui mujahadah kita insya Allah kita akan dapat kemenangan demi kemenangan dunia dan akhirat.

Saya rasa sudah sampai matlamatnya. Setakat ini sudah boleh faham, tak perlu panjang-panjang, kalau panjang-panjang takut banyak tercicir nanti. Cukup setakat itu, terimakasih kepada Tuhan kerana memberi kita ilmu pada pagi ini. Hingga saya dapat sampaikan sedikit sebanyak untuk panduan hidup kita. Hingga kita dapat kemenangan dunia dan akhirat, perlindungan dunia dan akhirat.

Sekian, ampun maaf kalau ada kekurangannya.


-dipetik drp kuliah seorang guru-
Moga Allah sentiasa merahmati guruku yg sangat besar jasanya ini.

Tuesday 14 August 2012

SAKSIKAN SUASANA ROADSHOW EKSPO & JUALAN AMAL BARANGAN HALAL UNTUK SAHAM AKHIRAT

Salam hormat untuk semua, marilah kita saksikan apakah komen pengunjung dan YB yang merasmikan Program Roadshow Ekspo Jualan Amal, Makanan Halal untuk mendapatkan Saham Akhirat, yang Penaja Utamanya ialah Global Ikhwan Sdn Bhd...

Ramai yang memberi komen positif dengan menyatakan bahawa usaha-usaha murni ini perlu diteruskan, makanan Halal sangat perlu untuk membentuk hati yang bersih...

Ditambah lagi, pengunjung terhibur dengan persembahan daripada kumpulan Generasi Harapan, hiburan yang tidak melalaikan tetapi membawa manusia untuk merasa hamba dan terasa perlu untuk memperjuangkan Allah dan Rasul dalam seluruh aspek kehidupan.




Marilah dan saksikanlah....dan jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke tapak Ekspo kerana Roadshow akan diteruskan lagi ke utara pula selepas ini insya Allah.

Ekspo di Seremban2 -Part 1

Ekspo di Seremban2 -Part 2

Sekian.

Monday 13 August 2012

SEMUA KITA TAK MAHU TAPI...BAGAIMANA JIKA AKU....DIMAKAMKAN HARI INI??!!

SEBUAH RENUNGAN, YANG PATUT DI AMBIL BERAT....mungkin itulah kata-kata yang diucapkan oleh mereka yang pergi meninggalkan kita ke alam yang kekal abadi...tapi bagaimana pula kalau ia benar-benar berlaku kepada diri kita tanpa kita rela, atau bersedia....Ohhh tidak sanggup rasanya....belum lagi rasanya mampu untuk kekal di alam sana....persiapan masih terlalu kurang......

Jika kurenung-renung, Puasa kali ini agak berlainan dengan puasa-puasa tahun-tahun lepas. puasa kali inilah begitu ramai yang bertemu kembali dengan pencipta yg Esa sama ada saudara atau rakan seperjuangan, pergi mengadap atau dipanggil semula ke kampung asal setelah diizinkan bermukin secara sementara di kampung dunia..


JIKA AKU....DIMAKAMKAN HARI INI

Aku mati...
Perlahan tubuhku ditutup tanah. 

Perlahan….
semua pergi meninggalkanku. 
Masih terdengar jelas langkah-langkah terakhir mereka,

Aku sendirian....
di tempat gelap yang tak pernah terbayang,
Sendiri...
menunggu pertanyaan malaikat.

Belahan hati,
belahan jiwa pun pergi.

Apa lagi sekadar kawan dekat atau orang lain.
Aku bukan siapa-siapa lagi bagi mereka. 

Sanak keluarga menangis,
sangat pedih,
aku pun demikian,
tak kalah sedih. 

Tetapi aku tetap sendiri,
di sini...
menunggu perhitungan. 
Menyesal sudah tak mungkin.
Taubat tak lagi dianggap
dan maaf pun tak bakal didengar, 

Aku benar-benar harus sendiri... 

Ya ALLAH...
jika Engkau beri aku satu lagi kesempatan,
jika Engkau pinjamkan lagi beberapa hari milikMU,
Untuk aku perbaiki diriku, 

Aku ingin memohon maaf pada mereka,
yang selama ini telah merasakan zalimku,
yang selama ini sengsara kerana aku,
tersakiti kerana aku, 

Aku akan kembalikan jika ada harta kotor ini
yg telah kukumpulkan,
yg bahkan kumakan.. 

Ya ALLAH....
Beri lagi aku beberapa hari milik-Mu,
Untuk berbakti kepada ayah dan ibu tercinta.
Teringat kata-kata kasar dan keras yang menyakitkan hati mereka,

Maafkan aku ayah dan ibu...
mengapa tak kusedari betapa besar kasih sayangmu,….  

Beri juga ya ALLAH...
aku waktu untuk berkumpul dengan keluargaku,
menyenangkan saudara- saudaraku….. 

Untuk sungguh-sungguh beramal soleh.
Aku sungguh ingin bersujud 
di hadap-Mu lebih lama lagi…..

Begitu menyesal diri ini…..
Kesenangan yg pernah kuraih dulu,
tak ada ertinya sama sekali 

Mengapa kusia-siakan saja waktu hidup yang hanya sekali itu?
Andai aku mampu kembalikan waktu itu

Tapi aku dimakamkan hari ini...          
dan semua menjadi tak termaafkan                                    
dan semua menjadi terlambat
dan aku harus sendiri…..

Untuk waktu yang tak terbayangkan                        
sampai yaumul hisab dan dikumpulkan di padang mahsyar…

Ya RAB...
sampaikan salamku untuk sahabatku                                        
yg selalu mengingatkan ku
akan hari terakhirku di dunia

Sesungguhnya...                           
sahabat yang terbaik iaitu...
sahabat yang mengingatkan tentang kematian...
(Dipetik dr anjangmuor)

Friday 10 August 2012

MEMBINA SERIKANDI DAN BIDADARI PADA DIRI SETIAP ISTERI


Salam sejahtera, cepatnya Ramadhan bakal melabuhkan tirainya... moga moga masih ada ruang untuk kita sama-sama membaiki segala kepincangan dan kekurangan dalam kehidupan berumahtangga, rumahtangga Islam seperti yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul.. Ia sememangnya ada disiplin, panduan dan ilmu-ilmu khusus..

"Bacalah dengan Nama Tuhanmu Yang Maha Pemurah...yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya" : Al-'Alaq (3-5)

Selamat membaca, moga ia dapat memberi manfaat untuk diamalkan..

MEMBINA SERIKANDI DAN BIDADARI
PADA DIRI SETIAP ISTERI

BAB 1

Allah dan Rasul menghendaki para wanita dapat mnjadi isteri  solehah. Bahkan sebaik-baik perhiasan itu Rasulullah kata ialah isteri solehah. Siapakah isteri solehah itu? Yakni isteri yang dapat  menjadi serikandi dan bidadari serentak, dalam masa yang sama dan pada diri yang sama.  Boleh melayan suami dan melakukan kewajipannya dalam perjuangan.

Sebagai bidadari suami, dia berusaha untuk taat, khidmat dan menghiburkan suami dalam semua keadaan. Walau isteri dalam keadaan sakit dia bangun berusaha nak hiburkan suaminya. Kalaulah dia sakit hingga membawa mati, dia boleh dapat mati syahid kerana berkhidmat kepada suami. Isteri zaman sekarang kalau pening kepala sikit pun dah kurang layan suami nya. Sebagai suami memang simpati dan boleh memaafkan istri sakit pening kepala. Tapi selaku istri mesti berusaha buat yang terbaik. Kalau dapat diusahakan masyaAllah, itu sangat disukai Allah dan Rasul.

Tuhan tawarkan lelaki untuk mati syahid di medan juang. Wanita pula tidak ada tawaran begitu. Tapi wanita diminta hanya memberi sepenuh ketaatan dan khidmat kepada suami. Kalau isteri boleh lakukan begini, maka suami akan dapat  rasakan sudah ada bidadari dalam hidup nya.

Dulu kita tidak faham begini, sebab itu para isteri banyak gagal dalam melayan suami. Bila Rasulullah bagi panduan ini barulah kita faham bahwa  di rumah tidak boleh ada serikandi sahaja. Rupanya peranan serikandi berjuang kena selari dengan peranan bidadari. Pakejnya kena lengkap, yakni adanya peranan serikandi yang dilengkapkan dengan peranan bidadari pada dirinya. Bukan asing-asing, bukan pada dua orang, tapi pada seorang isteri. Setiap isteri itu kena jadi bidadari dan serikandi dalam dirinya sekaligus.

Bahkan  ada hadis, Rasulullah bersabda kalaulah Tuhan izinkan ada makhluk boleh sembah makhluk lain nescaya Rasulullah perintahkan istri sujud kepada suaminya. Ertinya peranan isteri sebagai  bidadari yang taat, khidmat dan menghiburkan.

BAB 2

suami itu sgt penting. Namun tidaklah sampai membuatkan wanita itu jadi jumud dan tidak ada peranan dalam perjuangan. Kerana ketaatan kpd suami itu tidak hanya setakat pd suami. Suami yang pejuang akan salurkan ketaatan isteri itu untuk Islam. Bukan untuk peribadinya semata-mata.

Inilah yang Rasulullah lakukan kepada para isterinya. Baginda mendidik isteri-isterinya sangat taat padanya hingga sanggup berbuat apa sahaja untuk Rasulullah dan perjuangannya. Lihatnya apa kata Sayidatina Khadijah sebaik saja dia  berkahwin dengan pemuda Muhammad, "bermula sekarang saya adalah hamba Tuan, seluruh harta saya adalah milik Tuan, saya juga milik Tuan, dan saya menunggu perintah Tuan". Dan apa pula kata Sayidatina Khadijah ketika menjelang wafatnya, "Wahai Rasulullah, jika saya mati dan tulang belulang saya boleh dijual utk perjuangan Islam maka juallah." MasyaAllah mulianya hati Sayidatina Khadijah, berjuang dan berkorban habis-habisan untuk Islam, hingga tulang-belulangnya pun minta dikorbankan.

Terima kasih Ya Allah Ya Rasulallah,  kerana mengajar, memahamkan, mendidik dan mengasuh para suami dan para isteri hingga faham bahwa seorang isteri itu wajib dan memang boleh berperanan menjadi serikandi dan bidadari serentak dalam satu masa pada diri satu orang.

Selama ini apa yang para suami dan para isteri faham, peranan serikandi dan bidadari itu untuk orang berlainan. Maka  isteri yang aktif berjuang di luar rumah   lebih  berwatak sebagai serikandi dan senantiasa sebagai serikandi hatta di bilik tidur suami sekalipun. Perbualan, perlakuan, panggilan semuanya hanyalah perjuangan, perjuangan dan perjuangan. Bagaimana menyelesaikan masalah ini itu, dan lain-lain hingga privasi dan romantika suami sebagai pemimpin rumah tangga dan isteri sebagai bidadari hampir dilupakan.

Kesibukan perjuangan telah membuat suami-isteri itu tidak pandai mengimbangkan. Adakalanya setelah lama berpisah, sebelum bertemu suami dan isteri ada keinginan untuk bermanja-manja satu sama lain.

BAB 3

Namun harapan-harapan indah itu kadang-kadang habis musnah, kerana sampai-sampai saja, berbual dengan suami yang bertindak sebagai bos atau majikan yang menunggu laporan kerja dari buruhnya. Muncul-muncul saja di depan suami, akan dihujani pertanyaan: apa perkembangan ? Bagaimana assignment ini dan itu.  Projek A, B  itu macamana?  Atau suami akan berceloteh sepanjang malam bercerita tentang perkembangan perjuangan dia. Si isteri pula sibuk buat laporan tentang kerja perjuangannya di luar rumah. Sedikit sekali waktu dan perhatian untuk perasaan dan  peribadi suami dan isteri yang sama-sama berwatak pejuang.

Bila peranan serikandi saja yang menonjol, maka di luar, di dalam rumah, hatta di bilik tidur pun, perbualan, pemikiran hanya berkisar soal aktiviti perjuangan. Corak hidup sentiasa dalam genderang perang, hingga seni-seni berkhidmat dan menghiburkan suami agak diabaikan.

Kerana tradisi ini saja yang disuburkan, maka wanita pejuang itu berfikir  memang beginilah kehidupan suami-isteri pejuang. Pada mulanya, wanita itu mungkin juga sangat menderita dengan budaya hidup begini, namun lama-lama dia akan terbiasa begini. Perkawinan yang begitu keras, hambar, tidak ada seni-seni keindahan antara suami-isteri. Tidak seimbang antara watak serikandi dan bidadari itu akhirnya menjadi kebiasaan.

Keadaan  perkawinan yang lebih bercorak serikandi pejuang itu terus berpanjangan, hingga akhirnya tertanam dalam fikiran dan perasaan, mungkin memang beginilah nasib suami-isteri pejuang. Si isteri serikandi akhirnya melupakan saja seni-seni taat dan khidmat pada diri suami itu karena diri ini telah diletakkan sebagai isteri yang berperanan sebagai serikandi, sebagai kawan seperjuangan suami. Dia akan lebih serius berfikir bagaimana membantu perjuangan suami di luar rumah.

Inilah yang diderita oleh para pemimpin dunia hari ini. Suami sibuk berpolitik, isteri pula sibuk berpersatuan. Awalnya suami yang suruh isteri bergelanggang dalam masyarakat,

BAB 4

konon untuk membina pengaruh suami. Konon isteri sebagai senjata perjuangan. Tapi akhirnya senjata makan tuan. Isteri yang dibina sebagai serikandi, sayap kiri perjuangan lama-lama  menjadi asik berpersatuan, tidak ada masa pula untuk taat, khidmat dan hiburkan suami. Suami balik rumah penat, kadang-kadang isteri pun belum balik dari berpersatuan. Kalau balik pun dah sama-sama penat. Tak peliklah ramai pemimpin dunia yang sanggup cari pelacur untuk mendapat hiburan, kerana isteri sudah tidak mahu melayan dan menghiburnya setiap diperlukan.

Dimana-mana budaya ini terjadi, si isteri akhirnya terbiasa dengan kehidupan begini, menjadi sayap kiri perjuangan suami, menjadi serikandi yang membantu perjuangan suami khususnya perjuangan di luar rumah. Betapalah kalau dia juga membantu urusan suami dalam hal ekonomi, dakwah, politik, sebagai pemimpin masyarakat dan lain-lain kerja yang banyaknya di luar rumah. Yang suami pula walaupun dia ingin isterinya juga bagai bidadari, tetapi kalau diganggu peranan srikandinya itu, bimbang pula isteri akan merosot perjuangannya. Sebab itu, bila isteri minta izin keluar, walaupun sebenarnya suami masih menginginkan khidmat isterinya itu, maka dia dengan berat hati mengizinkan. Atau bila dilihat isterinya keletihan setelah penat berjuang di luar rumah, maka suami pun dengan terpaksa bersabar walaupun sebenarnya dia sedang memerlukan khidmat isterinya itu. Yang tak mampu sabar, mencari hiburan lain, walaupun maksiat.

Apa yang berlaku akhirnya suami makan hati dan berulam jantung dengan isteri serikandinya ini. Bagi suami yang berpoligami, maka akan buat spesialisasi, ada isteri yang dibina menjadi serikandi, ada pula isteri yang dibina menjadi bidadari. Isteri yang serikandi dibina untuk membantu perjuangan di luar, urusan bisnes, urusan dakwah dan kepimpinannya. Yang bidadari pula mengurus hal-hal peribadinya, makan-minumnya, pakaiannya, sakit-sakit badannya dan lain-lain hal privasi suami.

Biasa kita dengar ungkapan suami:

BAB 5

“biarlah ada yang pergi perang, ada yang jadi jururawat, ada yang bantu kerja perjuangan suami, ada yang urus hal peribadi suami, tak payahlah berebut-rebut"

Ungkapan ini sepertinya logik, namun boleh membuat isteri-isteri itu menjadi rosak. Ada yang terlebih serikandi, ada yang terlebih bidadari. Tidak menjadi bidadari dan serikandi pada waktu yang sama dan pada diri orang yang sama.

Isteri yang serikandi, dia juga wanita yang punya perasaan, walaupun mungkin lebih menonjol dalam hal pemikiran dan perjuangan. Apabila pemikiran dan kerja perjuangannya saja yang dibina, akibatnya dia menjadi pejuang yang kasar, keras dan garang. Menjadi masalah kepada suami dan kepada masyarakat umum. Menjadi isteri yang pandai berdikari tapi kasar dengan suami, garang kepada anak buah dan masyarakat umum. Tidak pula menjadi serikandi seperti yang dikehendaki Islam.

Sebaliknya pula, isteri lain yang diharap suami menjadi spesialis bidadari atau jururawat pribadi suami juga akan terasa kekurangan dari sudut perjuangan. Apabila jiwa juangnya lemah maka dia juga  akan menjadi masalah kepada suami dan masyarakat. Menjadi isteri yang asik nak berkepit dan bergantung dengan suami, lalu mengikat dan menyusahkan suami. Tidak pula menjadi bidadari seperti yang dikehendaki Islam.

Dua-duanya  tidak menguntungkan suami, bahkan merugikan Islam. Malah menyusahkan dan menjadi masalah kepada perjuangan. Betullah Abuya kata, isteri kalau tidak dididik dengan Tuhan, di rumah rosak, di luar rumah pun rosak. Sedangkan bila dididik dengan betul, seorang isteri akan menjadi taat pada suami dan cinta pula kepada Islam. Jadilah mereka bidadari dan serikandi dalam waktu yang sama pada diri yang sama.

Alangkah indahnya kalau suami dan isteri mempunyai kefahaman dan perasaan yang sama dalam mewujudkan keluarga bahagia ini. Suami berwibawa dan bertanggungjawab, isteri-isteri pula dididik untuk menjadi serikandi dan bidadari secara serentak. Di rumah dia bidadari, di jalanan dia kawan,

BAB 6

apabila suami buntu fikiran, si isteri memberi semangat dan dorongan.  Tidak ada pengkhususan antara setiap isteri. Masing-masing wajib berusaha untuk menjadi bidadari dan serikandi Islam.

Terima kasih Ya Allah Ya Rasulallah, kerana telah memberi kefahaman ini, telah menyelamatkan jiwa para suami dan isteri. Semoga kefahaman ini dapat  diamalkan.

Terima kasih juga buat mursyidku, tanpa guru yang juga wasilah masakan kita memperolehi ilmu-ilmu yang sebegini tinggi.

Thursday 9 August 2012

BAGAIMANAKAH WATAK PEMIMPIN ITU DALAM HAL BERKAITAN SEMBAHYANG??

Salam hormat kepada pembaca semua,

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa selalu diceritakan hal-hal Abuya dan Jemaahnya. Ingin dinyatakan di sini, sering menyebut-nyebut nama orang-orang soleh itu akan mendatangkan Rahmat Allah, apatah lagi pada bulan Ramadhan yang mulia ini.  Juga ia adalah kerana beliau merupakan seorang mujaddid yang patut menjadi ikutan, contoh dan tauladan, Allah datangkan setiap seratus tahun di awal kurun, seorang mujaddid untuk membetulkan apa-apa kerosakan dalam urusan agama setelah wafatnya Rasul

Perlu juga umum ketahui bahawa, Kitab-kitab wahabi sangat menolak dan menetang hal ini, kerana pada mereka tiadanya mujaddid atau guru mursyid. Malanglah  kita yang ahli sunnah wal jamaah dan bermazhab Imam shafie sekiranya terpengaruh juga dalam aliran wahabi ini...sepatutnya kita tiada masalah dan menerima kebenaran yang didatangkan oleh Allah melalui Rasulnya, perihal mujaddid ini, memng ada disebut dlm hadis..memanglah jika merujuk drpd kitab wahabi mereka juga ada hadis2 yg sgt menolak dan mempunyai huraian tersendiri..moga kita terselamat dan tidak terpengaruh dgn agenda musuh2 Islam..sudahkah dpt menonton?? VCD lengkap dgn fakta..'Wahabi satu konspirasi Yahudi Menghancurkan Islam dr Dalam', sesiapa yang dah tengok insyAllah akan Faham, bagaimana menyusupnya aliran wahabi di kalangan keluarga Bani Saud yg sedang memerintah Saudi sekarang..

Tetapi Allah ada caranya yang tersendiri, takkan selamanya umat islam ditindas dan tertipu, pembongkaran dan pendedahan sedang sangat berlaku dengan ajaibnya dan umum sedang menyaksikan perubahan2 dlm dunia Islam..islam tidak akan kalah2 lagi, kebenaran akan terserlah..semua hati tak mampu untuk menafikan melainkan sedikit shj yg tak senang atau tak cuba untuk memahami,

Bagi golongan sebegitu kita cuma ucapkan seperti yg dianjurkan di dalam Al Quran.."Lakum dinukum waliyadiin"..

"Engkau dengan cara engkau beragama, aku dengan cara aku"..jadi masing2 dengan cara tersendiri..tak ada masalah, Al-Quran menganjurkan begitu..Janganlah pula terlalu ekstrim atau fanatik gilerr hingga apa sahaja yang dilakukan oleh orang lain yang tidak sependapat, akan diusahakan dimusuhi habis-habisan sampai menggunakan pelbagai jentera, itu bukan cara Islam.

Di dalam ajaran Islam, menurut Al Quran, masing-masing bebas untuk beragama dengan keyakinan dan cara masing-masing, dan jangan pula ada pihak-pihak tertentu, konon atas nama Islam cuba mengganggu gugat orang lain atau menyebarkan hasutan di sana sini.  Itu tidak adil, biarlah orang yang ingin menyebarkan kebenaran membuat kerja-kerja mereka, janganlah orang lain bersusah payah mengganggu kerja-kerja orang lain, bagi peluang sama-sama mengamalkan keyakinan masing-masing dalam beragama.  Allah akan bertanya kita setiap apa yang kita lakukan di muka bumi ini.  Apakah kita memberi manfaat kepada orang lain, atau kita merosakkan kepercayaan orang lain dalam hal beragama, atau adakah kerana perbuatan kita, ia boleh menyebabkan terjadinya perbalahan di sana-sini. Untuk renungan bersama, moga bermanfaat.

Wassalam

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Kisah pengalaman Daripada Ibu Khaulah At-Tamimi (Puteri Abuya)

Abuya selaku ketua surau akan periksa setiap dari kami dari awal nak solat lagi. Kuku kena pendek untuk pastikan air wudhuk masuk ke segenap inci. Bersuci (buang air kecil/besar) mesti nak kena betul kalau tak sembahyang kompem tak sah. Abuya siap ajar lagi nak tos kencing kena berdehem. Sebab kalau kencing tak tos akan dibawa kedalam sembahyang,maka jadi sampahlah solat kita. 

Bila dah masuk surau kena sunyi sepi tak boleh nak main sep-sep lagi kalau tak akan didenda tak boleh makan tengahari. Selawat setengah jam sebelum sembahyang tu dah jatuh wajib. Abuya kata kalau sebelum solat tak dimulai dengan selawat bagaikan bunga tanpa wanginya. Bila azan pula kena kuat,sedap dan lantang. Nasib baik anak perempuan tak boleh azan. Kurang satu debaran. Sembahyang sunat sangatlah dititik berat. Janganlah cuba nak mengelat kalau takut kena sebat. Susun atur saf sungguhlah saat yang terasa berat. Lelaki dewasa satu saf, yang belum baligh haruslah diasingkan. Begitu juga wanita dewasa dan yang belum baligh tidak diletakkan dalam satu saf yang sama. Kekiri dan kekanannya sangatlah diperhati. Semua itu bagaikan satu latihan untuk kami sedari kecil supaya dapat dipraktik walau kemana langkah dibawa dewasa kelak. 

Oh ya.. Abuya ajarkan juga,sejadah untuk sembahyang lebih afdhal jika ianya berwarna putih. Itu sedikit sebanyak membantu mengurangkan khayalan ketika solat bila fikiran akan menerawang dikeranakan sejadah punya corak sangatlah menarik perhatian. Sejadah sekarang dah ada yang warna pink pulak tu!

Itu baru hal-hal lahir yang sangat diambil kira sebelum dan ketika bersembahyang. Belum lagi masuk bab kefahaman dan penghayatan ketika bersolat untuk sampai sembahyang itu dapat dilaksanakan menjadi cara hidup. Membangun dengan sembahyang. Menempa kejayaan juga dengan sembahyang. Abuya sampai siapkan modul khusus untuk menceritakan perihal sembahyang..

**  Rehat kejap, selingan Laporan dari Manchester  **

Thursday 2 August 2012

MARILAH MEMAHAMI RAMADHAN DAN AL 'EID

Salam semua..Rasanya, masih belum terlambat untuk kita sama-sama merenung dan membaiki diri. Terimakasih wahai mursyid yang sentiasa memberi panduan dan bimbingan.


MARILAH MEMAHAMI RAMADHAN DAN AL ‘EID
Menyambut Ramadhan dan Hari Raya telah bercampur di antara  Sunnah dan bid’ah.
Bercampur di antara syariat dan adat.
Menjadikan kemurnian Ramadhan dan ‘eid telah tercemar.
Ramadhan disambut dengan bulan makan-makan.
Adakalanya terjadilah pembaziran.
Menjadikan bulan Ramadhan belanja harian lebih daripada kebiasaan.
Setengah orang bulan Ramadhan lebih banyak rehat-rehat dan tidur-tiduran.
Puasa pula sekadar tidak makan dan minum, yang lain dilakukan.
Yang dikejar fadhilat, yang ditunggu lailatul qadar bukan bulan menebalkan taqwa dan iman.
Apakah kalau ternafi iman dan taqwa, fadhilat dan keutamaan lailatul qadar dapat?
Kedua-duanya itu bergantung di atas asas iman dan taqwa.
Kalau iman dan taqwa tidak dapat yang lain juga ikut tidak dapat.
Sunnah pemurah di bulan Ramadhan sudah tidak jadi tabiat.
Pemurah hanya pada diri sendiri hingga makan berlebih-lebihan.
Membaca Al Quran fikir hendak khatam bukan difaham dan hendakkan penghayatan.
Kerana itulah membaca Al Quran di bulan Ramadhan tidak dapat ilmu dan keinsafan.
Kalaupun berlaku pemurah di bulan Ramadhan bukan kerana iman dan keinsafan.
Pemurah lebih hendak mencari nama, publisiti dan kemasyhuran.
Kalau tidak diberitakan di dalam suratkhabar hanya senyap-senyap sahaja dia tidak akan memberikan.
Yang hafiz-hafiz Al Quran pula di masa Ramadhan peluang cari makan.
Sengaja meminta jadi imam di mana-mana masjid untuk mendapat upahan.
Sebelum itu berlaku tawar-menawar, kalau bayarannya sedikit tidak jadi menerima tawaran.
Apa sudah jadi dengan imam-imam hafiz Al Quran?
Mengapa jadikan Al Quran barang murahan, jalan cari makan?
Tidak malukah dengan Tuhan punya Al Quran?
Cuba renungkan, cuba beri jawapan moga-moga kita mendapat keinsafan.
Kemudian hari raya pula memang ditunggu-tunggu.
Ditunggu bukan dengan keinsafan, apakah ibadah sebulan diterima Tuhan?
Sepatutnya dengan perasaan sedih bulan rahmat, berkat, maghfirah sudah ditinggalkan.
Sepatutnya rasa malu apakah kita layak berhari raya, hari raya untuk orang bertaqwa.
Tapi disambut dengan adat dan khurafat.
Dengan perayaan-perayaan yang melalaikan dan kemungkaran.
Pertemuan-pertemuan bergaul lelaki perempuan di luar batasan Tuhan.
Di dalam bersukaria hari raya itu sembahyang fardhu dicuaikan.
Jadi Ramadhan sudah disalah-ertikan, raya juga disalah-ertikan.
Bercampur di antara agama dengan adat dan khurafat.
Bercampur di antara syariat dan bid’ah.
Kemudian mengharapkan fadhilat dan lailatul qadar serta keampunan Tuhan.
Anugerah orang besar dunia pun payah hendak dapat.
Inikan pula anugerah Tuhan apakah mudah hendak didapatkan?
Marilah kita memahami Ramadhan dan al ‘eid dengan pengetahuan.
Agar tahun depan kita hadapi Ramadhan dan al ‘eid mengikut syariat Tuhan.

9.11.2004 – 2
Waktu Asar

HARI RAYA MENGEMBALIKAN JASAD BATIN KEPADA FITRAH

Menyambut ‘eid atau Hari Raya ertinya menyambut pulihnya fitrah kita dari sakit batin.
11 bulan di dalam setahun fitrah kita ditimpa sakit rohani.
Fitrah di sini termasuklah fikiran kita, nafsu kita dan roh kita.
Sebulan di dalam setahun ia di’overhaul’ semula untuk dipulihkan.
11 bulan akal kita fikirkan yang bukan-bukan.
Fikirkan dunia, fikirkan perkara haram, fikirkan perkara yang sia-sia.
Jarang akal kita memikirkan Tuhan, Akhirat dan kebaikan.
Nafsu kita lebih-lebih lagilah sakit dengan tamaknya, dengan bakhilnya, dengan cinta dunianya.
Roh kita begitu juga, pemarah, sakit hati, dendam, dengki, tidak simpati dengan orang yang susah, tidak takut Tuhan, tidak cinta Tuhan, tidak rasa bertuhan.
Tidak terasa kebesaran Tuhan, hati tidak rasa hamba, hina, lemah, harap, tidak ada kuasa, malu, kerdil di hadapan Tuhan.
Di bulan Ramadhan dibagi ubat-ubatnya untuk pulihkan semula.
Ubat-ubatnya ialah puasa, sembahyang, membaca Al Quran, zikir dan berfikir.
Itulah dia pil-pil ruhani mengubat akal fikiran, nafsu dan hati atau roh.
Apakah pil rohani yang kita makan itu sudah menjadi ubat akal, nafsu dan hati?
Sudahkah akal kembali kepada fitrahnya?
Sudahkah nafsu kembali pulih kepada fitrahnya?
Sudahkah roh kembali kepada fitrahnya?
Jadi erti hari raya itu mengembalikan ketiga-tiga jasad batin atau rohani itu kepada fitrah yang murni.
Berfikiran seperti kehendak Tuhan, bernafsu mengikut kehendak Tuhan.
Berperasaan mengikut kehendak Tuhan.
Kalau ketiga-tiga anggota batin pulih kepada fitrahnya.
Ertinya hasil Ramadhan dia mendapat iman dan taqwa dari Tuhan.
Layaklah berhari raya al ‘eid penutup Ramadhan  kalau ketiga-tiga jasad batin pulih kepada fitrahnya.
Layaklah dia mendapat rahmat, berkat, maghfirah, redha dan lailatul qadar dari Tuhan.
Masalahnya anggota batin ketiga-tiga itu apakah ia sudah dipulihkan oleh Ramadhan.
Kembali tunduk kepada perintah Tuhan.
Membesarkan-Nya, takut kepada-Nya, citna kepada-Nya, menyerah diri kepada-Nya, rasa dikuasai oleh-Nya.
Kalaulah umat Islam majoriti anggota batinnya kembali kepada fitrah yang murni hasil Ramadhan.
Umat Islam selepas Ramadhan menjadi malaikat berwajah insan.
Gejala masyarakat selesai, jenayah berlaku terbatas .
Ada orang miskin tapi terbela.
Ada orang susah tapi tidak susah.
Ada perselisihan faham tapi tidak berpanjangan.
Ada salah dan silapnya tapi mudah diinsafkan.
Tapi apa yang berlaku kepada umat Islam Ramadhan atau bukan Ramadhan sama sahaja.
Kerana konsep kedatangan Ramadhan sudah disalah-ertikan.
Umat Islam mengejar fadhilat bukan mengejar iman dan taqwa dari Tuhan.