Translate

Monday 10 June 2013

Santai : Info tentang Penjagaan Mawar atau Ros

Salam semua,

Di bawah ini, sedikit perkongsian tentang penjagaan Ros atau mawar.

Mawar yang cantik perlu penjagaan rapi.

Bersihkan kawasan dan buang batu kecil sebelum tanam mawar kerana akar pokok sangat sensitif 

SESIAPA saja akan tertarik dan jatuh cinta jika memandang bunga mawar mekar di kelilingi pepohon renek dan rumput menghijau di laman. 

Namun, untuk menanam sendiri mawar di laman, ramai yang mengelak kerana berpendapat pokok berkenaan sukar dijaga dan perlu penjagaan rapi. 

Pengurus Roha's Rizqi Roses di SACC Mall Shah Alam, Kamal Kamaruddin menyangkal pendapat berkenaan sebaliknya menyatakan penanaman pokok mawar mudah jika anda mengikut prosedur dan cara penjagaan yang betul. 

“Kita perlu lahirkan rasa cinta jika mahu menanam mawar sebagaimana bunga berkenaan sering dikaitkan sebagai lambang cinta,” katanya yang sudah empat tahun mengusahakan tanaman mawar dan kerja penyelenggaraan taman bunga berkenaan di sekitar Selangor. 

Beliau memberikan beberapa tip bagi penanaman mawar dan menasihatkan mereka yang berminat menanam pokok berkenaan tidak menggunakan baja kimia kerana ia boleh menyebabkan pokok tidak sihat. 


Tanam anak pokok mawar dalam beg polistirena.

“Menanam mawar perlulah belaian dan kasih sayang, jadi gunakan bahan semula jadi serta elakkan penggunaan air dan baja berlebihan,” katanya. 

Bagi mereka yang mahu membina laman mawar perlulah memastikan tanah yang digunakan sesuai iaitu adanya campuran tanah kompos yang mengandungi sabut kelapa, pasir, sekam dan tanah bakar. 

Sebelum mula menanam, bersihkan kawasan dan buang batu-batu kecil kerana akar mawar sangat sensitif. Bunga mawar juga tidak boleh ditanam berselang seli dengan pokok atau tumbuhan lain. 

Seeloknya, taman mawar hanya dikhususkan untuknya saja kerana akarnya sensitif dan tidak boleh berselirat dengan akar pokok lain. Pokok mawar juga dikategorikan sebagai pokok manja yang tidak boleh bersaing dengan pokok lain. 


Ubat sembur dan baja khas untuk mawar. 

Selepas tanah dibersihkan dan dicampurkan dengan tanah kompos, dan tanam anak pokok bunga seperti biasa. Kemudian, pokok berkenaan perlu disiram dua kali sehari, pagi dan petang. Air yang disiram mesti sampai ke atas bukannya hanya semburan biasa yang hanya terkena kepada daun. 

Kamal berkata, seeloknya untuk pokok mawar dalam pasu air perlu membasahi tanah bagi membolehkan akar mendapat air secukupnya. 

Selepas itu, pokok perlu di baja dan disiram dengan ubat semburan seminggu sekali. Baja khas yang terdiri daripada isi ikan, kulit udang, sayuran, serbuk soya dan ekstrak sawit. 

Baja berkenaan dihasilkan sendiri Kamal dan hanya boleh diperoleh di kedainya saja manakala semburan daripada bahan organik dihasilkan untuk mengelakkan serangan virus, daun nampak lebih segar dan bertindak sebagai anti fungus. 

Baja berkenaan akan dapat mengelakkan dahan menjadi kurus, pokok lebih tahan lama, pokok tidak berbunga dan atau daun mengalami masalah seperti kering, kekuningan dan bergulung. 

Katanya, baja juga tidak boleh digunakan berlebihan dan jika boleh elak menggunakan baja kimia atau kumbahan seperti tahi ayam dan kambing kerana ia tidak membantu menyihatkan pokok sebaliknya mengurangkan jangka hayat pokok mawar. 

Baja najis haiwan biasanya panas dan membawa pelbagai virus yang boleh mencacatkan daun dan bunga. 

Pokok bunga mawar memerlukan cahaya matahari dan air mencukupi. Namun, air berlebihan tidak baik untuk pokok. 

Beliau berkata, ada beberapa kesalahan yang kerap dilakukan mereka yang menanam pokok mawar. Antaranya, menanam pokok mawar berselang seli atau mencampurkan dengan pokok lain, menggunakan racun serangga dan baja kimia, air berlebihan dan kurang baja. 

Oleh kerana, mawar dikategorikan sebagai pokok manja, maka ia perlu dicantas dan tanah digembur selalu. Namun tanah tidak perlu digembur terlalu dalam kerana boleh mencederakan akar. 

Seeloknya, pokok dicantas setiap kali selepas bunga gugur dan dahan yang dicantas perlulah sepanjang enam ruas daripada tangkai bunga gugur atau kira-kira 15.2 sentimeter. 

“Ramai yang merungut, dahan yang dicantas terlalu panjang dan boleh memendekkan pokok. Namun, mereka tidak tahu, jika formula itu digunakan pokok akan lebih cepat berbunga. Setiap dahan yang dicantas akan cepat membawa tunas baru yang turut mengeluarkan kudup bunga,” katanya. 

Fakta 


Mawar 

Dikenali juga dengan nama ros. 


Saiz bunga mawar di Malaysia dan di Eropah tidak sama kerana perbezaan cuaca. Saiznya lebih besar di negara beriklim sejuk. 

Mawar ada pelbagai warna termasuk biru, hijau lembut dan hitam. Di Malaysia, mawar yang biasanya dijumpai berwarna merah jambu lembut. Namun, mawar berwarna merah, kuning dan putih menjadi pilihan ramai. 


Teknologi dalam industri penanaman pokok menyaksikan pokok mawar boleh dikacukkan dan menghasilkan warna yang pelbagai seperti mawar ungu merah jambu, mawar merah kuning dan mawar kuning jingga. 

Mawar disukai ramai dan sangat cantik untuk penyeri laman. Selain baunya yang harum, mawar menjadi pilihan ramai kerana sering diterjemahkan sebagai lambang kasih sayang. Dari segi ekonomi, permintaan pokok mawar melebihi daripada bunga yang lain, digunakan dalam haruman, hiasan dan makanan 

Satu masa dulu di Eropah, bunga mawar menjadi bunga penting untuk taman larangan Istana. 

Ada pelbagai jenis mawar di dunia. Namun, ia dikategorikan dalam tiga jenis utama iaitu Mawar Liar, Mawar Taman Tradisi dan Mawar Taman Moden 

Setiap warna bunga mawar membawa makna atau lambang yang berbeza. Malah, masyarakat barat percaya, warna bunga membawa makna tertentu. Warna merah bermaksud romantik dan lambang kasih sayang dan cinta, manakala mawar kuning bererti kebebasan dan sering menjadi hadiah untuk ucapan tahniah atas kejayaan, ibu baru atau persahabatan.

link asal : http://bertanamlah.blogspot.com/2009/01/tanam-ros-dengan-penuh-kasih-sayang.html

No comments:

Post a Comment