Translate

Saturday, 22 June 2013

Sekapur Sireh - Konsep Kesederhanaan Menurut Islam


SEKAPUR SIREH

BUKU ini merupakan buku karangan Ustaz Ashaari Muhammad yang ke-49. Ia insya-ALLAH akan membetulkan segala kekeliruan dan salah faham berhubung dengan konsep fifty-fifty yang telah sekian lama memisahkan umat Islam dari corak hidup sebenar seorang Muslim. Buku ini membawa pembaca melihat pengertian kesederhanaan yang sebenar sebagaimana dituntut oleh ajaran Islam, bukan sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan umat Islam hari ini. Yakni bukan konsep kesederhanaan yang meletakkan dunia dan Akhirat setaraf hingga boleh di 'fifty fifty’kan.

Kelahiran buku ini amat sesuai dengan masanya ketika sebahagian umat Islam di seluruh dunia sedang bersungguh-sungguh menghayati cara hidup Islam yang syumul, manakala sebahagian yang lain memandang negatif akan perkembangan itu sambil membuat tuduhan-tuduhan “ekstrim”, “lupa dunia”, “kolot” dan pelbagai tuduhan lagi.

Sebagai pemimpin sebuah jemaah Islam, Ustaz Ashaari membawa visi yang jelas bagi merealisasikan kegemilangan Islam akhir zaman. Melalui buku-bukunya, termasuk juga buku ini, beliau membangkitkan kesedaran dan memberi garis panduan, bimbingan, nasihat serta teguran yang berhikmah ke arah itu. Pendekatan sufi beliau, hujah hujah bernas serta contoh-contoh semasa yang dikemukakannya menjadikan buku-buku beliau teristimewa berbanding dengan buku-buku lain karangan ulama-ulama mutaakhirin.

Ini ditambah dengan gaya bahasanya yang mudah, segar dan padat yang menjadikan tulisan beliau punya kekuatan ‘roh’ hingga memberi kesan yang kuat kepada pembaca; mendorong ke arah perubahan diri dan masyarakat. Apa yang dituliskannya merupakan hasil pemerhatian, pengkajian dan pengalaman sebagai individu Muslim dan pemimpin jemaah Islam. Ia memuatkan fikrah atau minda beliau yang telah diterapkan secara bertahap-tahap dalam jemaah Darul Arqam sejak penubuhannya 23 tahun lalu hingga kini.

Bermula dengan usaha membaiki diri, keluarga dan jemaah, beliau telah meluaskan gelanggang perjuangannya ke arena antarabangsa. Beliau membawa Darul Arqam menjelajah ke hampir 3/4 dunia Timur Tengah, Eropah, Amerika, Asia dan Pasifik - dalam misi dakwah dan ziarah.
Wajah Islam yang diperkenalkannya ke seluruh dunia itu adalah Islam yang mampu menangani segala masalah masyarakat di semua peringkat termasuk dunia antarabangsa. Yakni yang mampu membangunkan tamadun hidup di dunia sebagai alat untuk kebahagiaan hidup di Akhirat. Bukan Islam yang telah dipersempitkan ruang lingkupnya pada soal-soal sembahyang, puasa, naik haji, wirid zikir semata-mata. Atau ‘Islam’ yang memisahkan urusan dunia dari urusan Akhirat.

Buku ini merupakan satu lagi sumbangan Ustaz Ashaari kepada kebangkitan Islam yang kian menuju kemuncaknya. Semoga ia dapat mendorong perubahan jiwa dan fikiran masyarakat ke arah era kegemilangan yang kita cita-citakan itu-era Dunia Baru Islam.

- Penerbit

No comments:

Post a Comment