Translate

Saturday, 22 June 2013

Muqaddimah -Konsep Kesederhanaan Menurut Islam


MUQADDIMAH

ALLAH SWT berfirman:

Terjemahannya: Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu-daya. (Ali Imran: 185)

Terjemahannya: Tapi kamu memilih kehidupan duniawi. Sedangkan kehidupan Akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal. (Al A'la: 16-17)

Terjemahannya: Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak seperti hujan yang tanam-tanamannya mengkagumkan para petani, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di Akhirat nanti ada azab yang keras dan ampunan dari ALLAH serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.

(Al Hadid: 20)
Berdasarkan firman-firman ALLAH itu, fahamlah kita bahawa Islam mahu kita utamakan Akhirat. Sebab Akhirat jauh lebih baik, lebih hebat dan lebih dahsyat daripada dunia. Kita patut cinta dan rindu pada nikmat Akhirat. Dan kita patut bimbang, cemas dan gerun dengan azab di Akhirat. Sebab kedua-duanya itu sangat jauh tingginya daripada nikmat dunia yang kita ingini dan azab dunia yang kita takuti itu.
Rasulullah SAW bersabda:
Terjemahannya: Dunia adalah perantaraan (jambatan) ke Akhirat.
(Riwayat lbnu Asakir)
Dalam Hadis yang lain Rasulullah bersabda:
Terjemahannya: Dunia adalah tempat menanam (tanaman) Akhirat.

Dengan tamsilan di atas, Rasulullah SAW mahu kita jadikan dunia sebagai tempat bekerja keras, agar di Akhirat dapat memungut hasil yang lumayan. Dan ini adalah patut sekali. Macamlah orang yang ke luar negeri atau orang yang meninggalkan kampung halaman kerana masuk universiti. Semasa belajar, dia tidak boleh main-main atau buat kerja lain. Kalau mahu hasil yang besar, kena belajar sungguh-sungguh selama empat atau tujuh tahun itu. Salahlah bagi seseorang yang berfikir, universiti tempat rehat-rehat, enjoy atau tempat lakukan lain-lain kerja.
Nanti bila tamat tempoh pengajian dia akan kecundang.

Demikianlah sebenarnya tujuan manusia datang ke dunia iaitu untuk berpeluang merebut Syurga di Akhirat dan peluang untuk menyelamatkan diri daripada api Neraka di Akhirat. Tetapi kiranya ada orang berkata, jangan fikir Akhirat, kerana dunia sudah cukup, dia akan jadi papa-kedana di Akhirat nanti. Begitu juga orang yang berkata, dunia mahu, Akhirat pun mahu Lalu dia membezakan urusan untuk dunia dan urusan untuk Akhirat. Bahkan lebih banyak melakukan perkara-perkara haram, nasibnya tidak akan terjamin nanti.

Akan jadi pengemis dan hina-dina di Akhirat. Hanya orang yang gunakan dunia seluruhnya untuk merebut Akhirat yang akan mendapat hasil yang gilang-gemilang di Akhirat.
Kalau begitulah halnya, mengapa pula Rasulullah SAW bersabda:
Terjemahannya: Sebaik-baik pekerjaan itu adalah pertengahan.
Sabdanya lagi:
Terjemahannya: Bekerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Dan bekerjalah untuk Akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari. (Riwayat lbnu Asakir)
Dan mengapa pula ALLAH berfirman:

Terjemahannya: Apabila telah ditunaikan sembahyang hendaklah kamu bertebaran di muka bumi dan carilah kurniaan ALLAH, dan hendaklah kamu mengingati ALLAH banyak-banyak, moga-moga kamu mendapat kemenangan. (Al Jumu'ah: 10)
Sabda Rasulullah S.A.W:
Terjemahannya: Tidak dianggap baik orang yang meninggalkan dunianya kerana Akhirat, dan tidak juga orang yang meninggalkan Akhiratnya kerana dunianya. Sehinggalah mereka memperolehi kedua-duanya sekali.
(Riwayat lbnu Asakir)
Firman ALLAH pula:

Tejemahannya: Carilah apa-apa yang boleh membawa kamu ke Akhirat dan jangan lupa habuan kamu di dunia.
(Al Qasas: 77)

Tejemahannya: Wahai Tuhan kami, berilah kami keselamatan di dunia dan di Akhirat serta selamatkan kami dari api Neraka.
(Al Baqarah: 201)
Bukankah semua ayat Quran dan Hadis di atas menyuruh kita bekerja untuk dunia di samping bekerja juga untuk Akhirat. Maka kerana itulah banyak ulama yang cinta dunia mentafsirkan supaya amalkan konsep 50-50 (fifty-fifty). Buat 50% untuk dunia, 50% lagi untuk Akhirat. Di sinilah punca terjadinya salah faham tersebut.
Pada saya, bukan begitu maksud ALLAH dan Rasul dengan ayat-ayat di atas. Semuanya mempunyai maksud yang tersirat, maksud yang tersembunyi, dengan ukuran neraca dan penilaian yang tersendiri. Yang disuratkan, semuanya berlaku dalam realiti kehidupan Rasulullah SAW dan sekalian salafussoleh. Kita mesti menjadikan sifat kehidupan mereka itu sebagai kehidupan contoh yang melaksanakan seluruh tuntutan Al Quran dan Hadis. Bagaimana Rasulullah SAW dan para Sahabat berbuat untuk dunia dan untuk Akhirat, maka begitulah maksud ayat-ayat Quran dan Hadis di atas.

Perbuatan dan sikap mereka itu adalah maksud tafsiran Al Quran dan Hadis. Dunia benar-benar dikorbankan untuk Akhirat oleh Rasulullah SAW. Bukannya dunia dipisahkan dari Akhirat. Dan bukan berusaha untuk dunia 50% dan 50% untuk Akhirat. Adapun maksud Rasulullah menyuruh kita bersederhana itu ialah supaya kita tidak samakan urusan dunia dengan Akhirat. Untuk dunia biar padan dengan umur dunia yang tidak kekal. Dan untuk Akhirat biar sepadan pula dengan umur Akhirat yang kekal itu. Jangan disamakan. Macamlah kita hendak buat dua kerja; yang satu kecil dan yang satu lagi besar. Mana boleh memberi tenaga yang sama pada kedua-dua jenis kerja tersebut. Tenaga yang seimbang dengan kerja itulah sederhana namanya. Tidak melampau.
Seperkara lagi, perlu diingat ALLAH dan Rasul suruh kita rebut dunia itu bukan untuk peribadi. Tetapi untuk masyarakat dan negara. Supaya diri tetap zuhud dan masyarakat tetap kaya-raya.
=== sekian ===

No comments:

Post a Comment