BAB 2 - KESEDERHANAAN YANG LUMRAH
SAYA mahu tegaskan lagi bahawa maksud Rasulullah SAW yang sebenarnya dalam Hadis "Sebaik-baik pekerjaan itu ialah sederhana" bukannya kita berlebih kurang sahaja dalam buat kerja-kerja kita. Tetapi kesederhanaan itu ialah satu ukuran yang sebaik-baiknya untuk kerja-kerja dunia yang tidak kekal ini berbanding dengan kerja-kerja untuk Akhirat yang kekal abadi itu.
Untuk keperluan duniawi, sederhanakan sesuai dengan sifat dunia. Untuk keperluan Ukhrawi, sederhanakan sesuai dengan sifat-sifat Akhirat. Tetapi ingat, kedua-dua bentuk kesederhanaan ini tidak sama bahkan jauh bezanya. Sesuai dengan dunia yang tidak kekal, manakala Akhirat itu kekal.
Macamlah kita hendak pergi ke Singapura dan hendak ke England. Yang satu dekat dan yang satu lagi jauh jaraknya. Tentulah keperluan kewangan dan masa untuk ke Singapura jauh lebih kecil dibandingkan untuk ke England. Untuk ke Singapura, sederhanakan persediaan dengan keperluan-keperluan yang sesuai. Manakala untuk ke England, sederhanakan persediaan biar sesuai dengan jarak jauh dan lama masanya hendak ke sana. Sesuai pula dengan kos perbelanjaan di sana tinggi.
Contoh yang lain, persediaan wang untuk membeli basikal tentulah tak sama dengan persediaan wang untuk membeli kereta.
Itulah maksud Rasulullah sebenarnya. Yakni kesederhanaan dalam memberi tenaga pada sesuatu tugas sepadan dengan besar atau kecilnya serta nilai kerja tersebut. Seorang yang hendak mengutip kerang di laut, sebaik-baiknya dia gunakan tangan sahaja. Bukannya guna kapal korek atau gunakan sudu. Sederhana dalam hal ini ialah gunakan tangan. Tidak lagi sederhana namanya kalau guna sudu atau kapal korek. Gunakan sudu bermakna kurang sederhana, tetapi dengan kapal korek dikatakan melampau (ekstrim) pula.
Contoh-contoh kesederhanaan dalam kehidupan harian:
Harga ikan kembung biasanya $6.00 sekilo. Itulah harga yang sepadan untuk nilai ikan kembung yang kecil dan yang tidak berapa sedap itu. Apa kata kalau ada penjual hendak menjual ikan tersebut kepada kita dengan harga $10.00 sekilo. Atau apa kata jikalau ada penjual yang lain menawarkan harga 50 sen untuk nilai ikan yang sama. Kedua-dua harga tersebut tentulah memeranjatkan kita. Kita tentu tidak puas hati dengan harga tersebut. Ia tidak sepadan dengan nilai ikan kembung.
Maka dalam hal ini harga $6.00 sekilo bagi ikan kembung itulah yang dikatakan harga yang sederhana. Manakala harga-harga yang lain itu tidak lagi sederhana. Kedua-duanya dikatakan melampau. Yang satu melampau banyak, sementara yang satu lagi melampau sikit. Dengan kata lain, ekstrim yang berlebihan dan ekstrim yang berkurangan.
Bagaimana pula yang dikatakan sederhana dalam makan minum? Bagi seorang bayi, sederhana atau yang sebaik-baiknya ialah minum susu sahaja. Jangan disuap dengan nasi dan jangan pula cuma diberi minum air sahaja. Kedua-dua nasi dan air adalah keadaan yang melampau bagi si bayi. Tetapi bagi orang dewasa pula, sederhana untuk mereka ialah makan nasi. Tidak kena caranya kalau orang dewasa dihidang air susu sahaja. Jadi kesederhanaan untuk sesuatu diukur dengan keperluan. Oleh kerana keperluan bayi dengan keperluan orang dewasa tidak sama, maka ukuran kesederhanaan untuk kedua-duanya juga tidak sama. Mana boleh kita kata pada seorang yang dewasa, "Kamu ikut macam bayi itu, sederhana dalam makan minum yakni minum susu sahaja." Orang yang berkata begitu, pada saya itulah orang yang tidak sederhana, tidak adil, bahkan mungkin tidak siuman. Makanan yang seimbang atau kesederhanaan bagi orang dewasa ialah nasi. Kalau susu sahaja atau kalau makan daun sahaja,itulah yang tidak seimbang, tidak sederhana, tidak patut dan tidak adil bahkan tidak munasabah.
Biar saya buat satu contoh kesederhanaan yang lumrah dalam hidup harian kita iaitu dalam soal menolak sesuatu kemudaratan. Katalah dalam satu waktu kita diganggu oleh dua bahaya. Pertama, nyamuk. Kedua, lipan. Kedua-duanya mahu menyerang kita.
Apakah tindakan kita di waktu itu? Bila ternampak saja lipan, mungkin kita terlupakan serangan nyamuk. Kita pun capai kayu atau penyapu ataupun apa saja yang ada, yang difikirkan dapat membunuh lipan tersebut. Bila lipan sudah dibunuh, barulah kita teringatkan nyamuk tadi. Kalau masih terngiang-ngiang, kita pun tepis dan tampar dengan tangan sahaja.
Begitulah perbezaan sikap kita dalam menghadapi dua bahaya yang berbeza itu. Kita tidak gunakan kadar tenaga yang sama untuk menghadapi kedua-duanya itu, kerana keperluannya tidak sama. Kalaulah kita samakan, maka berlakulah ketidakseimbangan dan merbahaya sekali untuk kita. Tenaga yang diberi sama ada berlebih atau berkurang daripada tenaga yang benar-benar diperlukan dalam mendapat kemanfaatan atau menolak kemudaratan; itulah dia tidak seimbang atau tidak sederhana namanya. Jadi, begitulah yang lumrahnya kita lakukan dalam kehidupan seharian. Sesuatu kerja itu tidak lebih dan tidak kurang daripada apa yang patut dan perlu untuk dapatkan hasilnya. Sesuatu yang kecil, kita kecilkan. Yang besar kita besarkan pula tenaga untuknya. Dan itulah dia ukuran sederhana mengikut kata Rasulullah dalam Hadisnya: Terjemahannya: "Sebaik-baik pekerjaan itu ialah yang pertengahan."
Yang mana selama ini kita tersilap kerana menyatakan Rasulullah suruh kita bersederhana dalam kerja-kerja Akhirat, sama seperti buat kerja-kerja dunia. Lebih-lebih lagi tersasul melebihkan kerja-kerja dunia daripada kerja-kerja Akhirat. Oleh kerana Akhirat itu terlalu dahsyat dan hebat, maka persediaan ke sana mesti diperhebatkan juga. Sehingga sepatutnya seluruh hidup ini, harta, fikiran, tenaga dan jiwa raga dikorbankan untuk merebut Akhirat. Lebih-lebihnya saja untuk dunia. Macamlah kita tengok pengail ikan sanggup mengorbankan ikan puyunya untuk mengumpan ikan haruan besar. Atau macam nelayan, sanggup menyabung nyawa untuk dapatkan ikan di laut. Atau macam bakal-bakal profesor gigih mengorbankan masa, fikiran dan harta benda untuk dapatkan title profesornya itu.
Begitulah sepatutnya, kita yang merindui kebahagiaan abadi di Akhirat, menggunakan segala peluang dunia untuk merebutnya.
Kita takut miskin di dunia. Patutnya kita lebih takut miskin di Akhirat yang maha dahsyat kalau kita benar-benar beriman dengannya. Kita ingin Syurga dunia yang mewah dan selesa. Maka patutnya kita juga rindukan Syurga di Akhirat yang maha nikmat itu, yang lebih selesa dari dunia, kalau benar-benar kita beriman dengannya.
=== sekian ===
No comments:
Post a Comment