Translate

Saturday, 22 June 2013

BAB 1 - APA ITU SEDERHANA ATAU SEIMBANG


BAB 1 - APA ITU SEDERHANA ATAU SEIMBANG

RASULULLAH SAW bersabda:
Terjemahannya: Sebaik-baik pekerjaan itu ialah pertengahan (sederhana)
Dalam mengertikan maksud Hadis ini, ramai ulama yang menganggap sederhana yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu sama dengan sederhana dalam pengertian orang-orang Melayu, yakni pertengahan. Iaitu satu keadaan yang tidaklah baik sangat dan tidak juga buruk sangat. Misalnya, wajahnya sederhana saja. Ertinya orang itu tidaklah cantik sangat dan tidak juga buruk sangat. Contoh yang lain, kehidupannya sangat sederhana. Ertinya, orang itu taraf hidupnya tidaklah terlalu kaya dan tidaklah terlalu miskin.
Dengan kata lain, sederhana pada orang Melayu ialah ukuran separuh-separuh atau setengah-setengah. Ibarat kayu pembaris panjang 12 sentimeter, yang sederhana atau pertengahannya ialah 6 sentimeter-6 sentimeter. Sederhana bagi 100% itu ialah 50%-50%.

Dengan kefahaman yang sebegitu, maka sebahagian besar ilmuan Islam terutama ulama Malaysia telah pun menggariskan kepada umat Islam agar bersederhana dalam beribadah dan dalam menurut syariat ALLAH.
Mengikut ukuran tadi, sembahyang sunat jangan banyak sangat. Sederhana sajalah. Menutup aurat jangan berlebih-lebihan. Sederhanalah! Berkorban dan berjuang fisabilillah pun jangan melampau-lampau. Kan Rasulullah suruh bersederhana. Maka kiranya ada orang bersembahyang sunat berpuluh-puluh rakaat, mesti ada yang bersuara, “Jangan lebih-lebih sangat!" Kalau ada yang memakai jubah, serban dan purdah pula dicapkan sebagai ekstrim (sudah melampau; di luar sederhana). Dan bila si polan berhabis-habisan dalam berjuang dan berkorban menegakkan agama ALLAH, terdengarlah oleh kita ejekan, “Dunia mahu juga, Akhirat mahu juga. Fifty-fiffylah”, “Sikap itu keterlaluan”.
Demikianlah berjayanya diterapkan pengertian ‘sederhana’ cara Melayu kepada umat Islam dalam urusan-urusan agama. Manakala dalam sudut duniawi, hal itu tidak pula diperkatakan dan diperjuangkan. Walhal Rasulullah tidak khususkan sederhana itu pada soal-soal Ukhrawi sahaja. Baginda merangkumkan sederhana itu dalam semua bentuk kerja sama ada dunia mahupun Akhirat.

Kalaulah ada seorang yang buat kerja dunia, bertungkus-lumus pagi petang, siang malam sampai tidak peduli orang lain atau tidak fikir halal haram, perintah atau larangan, hingga tidak rehat-rehat, belum pernah kita terdengar sindiran-sindiran sekalipun daripada lidah ulama yang mengatakan, “Bersederhanalah, jangan melampau-lampau bekerja. Rasulullah kan suruh sederhana.” Sebaliknya apa yang kita dengar ialah pujaan, sanjungan dan rasa kagum. “Hebat si polan tu. Rajin dan gigih sekali.”

Demikian juga halnya terhadap golongan yang siang malam ke hulu ke hilir menari, menyanyi, berlakon dan buat bermacam-macam maksiat tanpa letih, tanpa jemu dan tidak behenti-henti. Belum pun ada suara-suara penentangan yang serius mengatakan mereka itu “ekstrim, melampau, gila, biul, otak tak centre” dan lain-lain lagi.

Sebaliknya usaha-usaha gigih yang di luar sederhana itu dipamerkan dan diiklankan di dada-dada akhbar. Agar umat meraikan dan ikut serta dalam kegigihan bekerja itu. Saranan supaya bersederhana tidak timbul lagi. “Fiffy-fiffylah” tidak diapply di sini. “Dunia mahu juga, Akhirat pun mahu” sudah tidak dipakai lagi. Bab ini kena dunia 100%.

Hadis Rasulullah sudah tidak dibaca lagi. Yang digunakan ialah ‘Hadis’ mereka sendiri iaitu ‘Hadis Melayu’. Apalagi kalau seseorang itu mengaji (belajar), mengejar Ph.D, bergolok bergadai, pergi ke luar negeri, tinggal anak isteri bertahun-tahun, lupa orang, lupa sembahyang, gila-gila mengaji hingga tidak kenal Tuhan, itu tidak mengapa. Tidak dianggap melampau. Itu bagus. Tiru dia. “Itulah lelaki zaman ini“, ‘Perwira”, “Manusia contoh” dan bermacam-macam pangkat dan gelaran yang diberikan kepada mereka. Mereka dipuja, dikagumi dan diagung-agungkan.
Tidak pun dibaca Hadis Rasulullah SAW:
Terjemahannya: Sebaik-baik pekerjaan itu sederhana. Tidak lagi diingatkan, “Fifty-fiftylah,’ dunia mahu juga, Akhirat nak juga. Jangan melampau!”

Mengapa terjadi diskriminasi dan salah faham yang demikian itu?
Pertama, kerana salah tafsir.

Kedua, kerana penyakit cinta dunia yang menjadi-jadi hingga penyakit cinta dunia ini turut menimpa para ulama.

Ketiga, para ulama ingin mengambil hati sesetengah golongan yang telah tenggelam dengan dunia.
Maka dari sinilah terjadinya kesilapan dan salah tafsir yang amat merugikan itu. Pada saya, sederhana yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW itu adalah merangkumi kerja-kerja dunia Akhirat yang hendaklah dibuat seimbang, sepadan dan hasilnya maksimum. Yakni satu peringkat yang terbaik mungkin, yang boleh memberi hasil yang paling lumayan.

Perkataan Rasulullah SAW itu kalau hendak dimelayukan, lebih kurang begini bunyinya:
“Sebaik-baik kerja itu sama ada dunia atau Akhirat ialah tenaga yang diberi seimbang dengan keperluan, padan dengan keupayaan dan memberi hasil yang maksimum.”
Biar saya buat contoh untuk mudah difahami. Katalah kita hendak mengaji. Rasulullah kata sebaik-baik pekerjaan ialah sederhana. Mengaji macam mana yang dikatakan sederhana itu? Mengaji sikit-sikit ke? Tentu tidak. Sebab Rasulullah ada bersabda:
Terjemahannya: Tuntutah ilmu walau ke Negeri China.
(Riwayaf Ibnu Adi dan Al Baihaqi)

Di sini jangan kita anggap Rasulullah SAW tidak betul kerana selalu bercakap lain-lain. Di satu masa disuruhnya bersederhana, di satu masa lain disuruhnya bersungguh sungguh. Sebenarnya maksud sederhana itu bukan ala kadar, sikit-sikit atau sekadar cukup. Tetapi maksud baginda ialah seimbang atau sepadan dengan keperluan. Ertinya kalau kita ingin menjadi pandai, ingin kaya, berjawatan tinggi, kenalah mengaji bagi sepadan dan seimbang dengan cita-cita kita itu. Kalau perlu, biar sampai ke Negeri China pun tidak mengapa.
Contoh lain, katalah kita hendak perjuangkan Islam supaya hukum ALLAH tertegak di muka bumi ALLAH ini. Jadi tentu kita hendak berjuang mati-matian dan habis-habisan. Bahkan hidup mati kita adalah untuk jihad fisabilillah. Dan Rasulullah memang menyuruh berbuat begitu, bahkan baginda sendiri melakukan yang sedemikian itu. Yakni berjuang habis-habisan dan mati-matian. Kalau begitu, tentunya sederhana itu bukan separuh, 50-50 atau tidak berapa cukup atau tidak sungguh-sungguh. Tetapi sederhana itu bererti seimbang dan sepadan dengan keperluan yang ingin dicapai. Dalam hal mencari rezeki misalnya, apakah kita hendak bersederhana dengan maksud tidak sungguh-sungguh, tidak serius, berlebih kurang dan 50-50 sahaja? Tentu tidak.

Sebab itu, kata-kata Rasulullah itu sebenarnya bukannya  supaya kita tidak buat betul-betul sama ada amalan-amalan duniawi apalagi Ukhrawi. Tetapi ialah agar kita sungguh-sungguh melakukan sesuatu supaya padan dan seimbang dengan hasil yang dikehendaki, atau yang diperlukan- tidak lebih dan tidak kurang.
Dengan hujah-hujah di atas itu, saya ingin tegaskan bahawa menurut Islam, bersederhana melakukan kerja itu ialah mengimbangkan antara tenaga kerja atau usaha serta wang ringgit, masa dan lain-lain yang hendak dikorbankan (untuk menghasilkan sesuatu kemanfaatan yang dihajati atau untuk menolak sesuatu kemudaratan), dengan hasil yang diperlukan. Sebagai seorang Islam kita disuruh melakukan sesuatu itu dengan bijaksana, yakni imbangkan antara usaha dengan hasilnya. Jangan terlebih atau terkurang.

Biar saya buat lagi contoh-contoh untuk mudah memahaminya. Katalah kita hendak bunuh lipan yang hendak menggigit kita. Sederhana atau seimbang dalam ha1 ini ialah kita gunakan kayu sahaja. Jangan guna senapang. Atau jangan guna sebatang lidi. Yang sederhana ialah kayu, yang melampau ialah senapang atau sebatang lidi tadi. Yang satu melampau lebih, yang satu lagi melampau kurang.

Atau contoh yang lain yang boleh memperjelaskan maksud sederhana ini ialah, katalah kita mahu pergi ke luar negeri. Kita pilih dua negara. Yang satu dekat dan yang satu lagi jauh. Misalnya Singapura dan England. Dalam ha1 ini, kesederhanaan belanja untuk ke Singapura ialah $200. Manakala kesederhanaan untuk ke England lebih daripada $5000. Ianya akan jadi ekstrim kiranya kita untukkan ke Singapura $20 atau $2000. Dan akan jadi ekstrim juga kalau kita untukkan ke England sebanyak $200 atau $2 juta.

Begitulah erti sederhananya iaitu mengimbangkan keperluan dengan tujuan tadi.
Dalam contoh ini juga boleh kita lihat satu pengertian lain tentang keseimbangan ini iaitu bila ada orang berkata, “Kita kena imbangkan antara peruntukan ke Singapura dan England, 50-50-lah Tidak mungkin berlaku, bukan? Sebab Singapura dan England tidak sama keperluan dan tuntutannya. Mana boleh samakan peruntukan antara keduanya.

Begitulah halnya dengan kerja-kerja yang hendak dibuat untuk tujuan dunia dan untuk tujuan Akhirat.
Rasulullah suruh imbangkan kerja dunia setakat keperluan duniawi kita. Begitu juga Rasulullah suruh imbangkan kerja-kerja untuk Akhirat dengan keperluan Ukhrawi kita. Jangan disamakan tenaga kerja untuk dunia yang sementara ini dengan tumpuan atau tenaga kerja untuk tugas-tugas Ukhrawi yang kekal abadi itu.

Sebab dunia dan Akhirat tidak sama. Dari segi lama masanya, kita tinggal di dunia paling lama 100 tahun. Sedangkan kita akan tinggal di Akhirat untuk selama-lamanya tanpa limit lagi. Di segi kehebatan pula, Akhirat jauh lebih hebat dari dunia. Nikmatnya sangat hebat. Azabnya pula sungguh dahsyat. Jauh lebih hebat dan dahsyat dari nikmat dan azab di dunia ini. Jika dinisbahkan, nikmat dunia hanya satu sedangkan nikmat. Akhirat 99. Panas api dunia hanya satu sedangkan panas api Neraka 70 kali ganda. Jadi mana boleh kita samakan usaha-usaha untuk hidup di dunia dan untuk hidup di Akhirat. Akhirat mesti dilebihkan. Kaedah 50-50 tidak boleh diapply di sini.

Sederhana dalam urusan dunia tidak sama dengan sederhana dalam urusan Akhirat. Kita misalkan nikmat dunia seperti batu akik dan nikmat Akhirat macam intan berlian. Sederhana untuk miliki batu akik ialah $100 sahaja. Tetapi sederhana untuk dapatkan intan berlian ialah $1000. Itukan berbeza. Mana boleh fifty-fifty!
Kita umpamakan pula azab dunia bagaikan gigitan lipan, manakala azab Akhirat bagaikan cengkaman singa. Dalam keadaan ini, sederhana untuk bunuh lipan ialah dengan kayu. Tetapi sederhana untuk membunuh singa ialah dengan senapang. Ertinya antara dua kesederhanaan ini jauh berbeza. Tidak mungkin sama. Sebab kedua-dua dunia dan Akhirat sangat besar perbezaannya. Benarlah Rasulullah SAW kerana mengatakan sebaik-baik pekerjaan ialah sederhana. Jangan berlebih-lebih dan jangan pula berkurang. Untuk dunia, kerja hendaklah disesuaikan dengan kecil dan sementaranya dunia ini. Jangan berlebih dan jangan pula berkurang. Tetapi untuk Akhirat, usaha biar sepadan atau seimbang dengan maha besar dan lamanya Akhirat itu. Jangan lebih, jangan berkurang. Tuntutan yang sama disabdakan oleh Rasulullah dalam Hadis lain yang berbunyi:
Terjemahannya: Bekerjalah untuk duniamu seolah-olah engkau akan hidup selama-lamanya. Dan bekerjalah untuk Akhiratmu seolah-olah kamu akan mafi esok hari. (Riwayat lbnu Asakir)

Di sini Rasulullah SAW suruh kita utamakan atau dahulukan Akhirat dari dunia. Bukannya disuruh kita samakan dunia dan Akhirat sepertimana sesetengah orang faham. Hujah saya, mana yang hendak kita dahulukan antara satu kerja yang mesti diselesaikan esok dengan satu kerja lain yang tempoh siapnya boleh bertahun-tahun lagi. Atau mana yang kita hendak utamakan, membayar hutang yang dituntut membayarnya esok dengan hutang yang boleh ditangguh bertahun-tahun lagi membayarnya?

Tentunya kita akan dahulukan dan utamakan kerja-kerja untuk keperluan hari esok. Yang lama lagi itu, kita akan kemudiankan dan kita boleh rehat-rehat lagi. Tetapi kerja esok tidak boleh main-main dan ditangguh-tangguh lagi. Begitulah bijaknya Rasulullah SAW membuat tamsilan.
Dan kita pula kena berhati-hati mentafsirkan ucapan ucapan Rasulullah. Kalaulah baginda meminta kita samakan tungkus lumus untuk dunia dan untuk Akhirat, tentulah baginda sendiri yang melakukannya. Tetapi realiti yang kita lihat ialah Rasulullah begitu meremehkan kepentingan-kepentingan peribadi dalam hal dunia. Tetapi baginda mati-matian untuk ALLAH dan untuk Akhirat. Rumah baginda cuma bilik-bilik kecil dan sempit yang dimiliki oleh isteri-isteri baginda. Rumah tersebut boleh kita capai bumbungnya. Tidur beralaskan tikar daun tamar (macam tikar mengkuang). Baginda wafat tidak meninggalkan harta benda untuk anak-anak dan isteri-isterinya. Tetapi dengan Akhirat baginda tidak tidur malam kerana hidupkan malam sembahyang, tafakur, baca Quran dan sebagainya.
Kalau ada makanan berlebih waktu malam, tidak disimpan ke pagi. Kerana katanya, “Esok belum pasti hidup”. Baginda benar-benar laksanakan cakapnya iaitu seolah-olah akan mati esok. Tetapi dengan dunia, tak apa! Ada masa lagi!

Jadi, bersederhanalah kita untuk dunia supaya padan dengan dunia yang kecil dan sementara ini, dan bersederhanalah untuk Akhirat biar padan dengan Akhirat yang maha hebat dan kekal abadi itu.

=== sekian ===

No comments:

Post a Comment