Translate

Sunday 16 December 2012

MERAJUK merupakan penyakit jiwa, Hanya DOKTOR HATI yang mampu merawatnya

MERAJUK merupakan penyakit jiwa

Sejak kecil hingga dewasa, siapakah antara kita yang tidak pernah merajuk?  Tentu kita pernah mengalami keadaan merajuk atau melihat orang lain merajuk. Jika tiada ilmu dan panduan, situasi merajuk ini boleh berlarutan dan boleh menimbulkan masalah yang lebih parah.  Orang yang merajuk, kalaulah dia merasakan hatinya sudah hancur dan tiada pula orang yang sanggup untuk melayan kerenahnya, dia mungkin akan sanggup untuk membunuh diri apabila emosinya sudah tidak terbendung.

Mari kita ungkai kenapa seseorang itu merajuk?Seringkali orang merajuk kerana dia kecil hati orang lain tidak mengindahkannya. Sama ada orang tidak memuliakannya dengan memberikannya satu kedudukan atau tempat yang istimewa, atau tidak menerima pandangannya, atau tidak menunaikan permintaannya.Mari kita kaji siapa pula yang boleh terkena penyakit merajuk ini?Penyakit merajuk ini boleh terkena kepada siapa-siapa sahaja. Tidak kira lelaki atau perempuan. Tidak kira tua atau pun muda. Orang yang besar atau pun kecil. Anak boleh merajuk dengan emak, emak boleh merajuk dengan anak. Suami isteri pun ada yang saling merajuk, tapi kebiasaannya kerana emosi wanita itu melebihi lelaki, maka seringkali pihak isterilah yang sering kelihatan merajuk.

Gejala atau penyakit merajuk ini, bukanlah suatu yang mudah untuk ditangani, ia memerlukan panduan dan bimbingan daripada seorang doktor yang pakar tentang penyakit hati atau kita istilahkan sebagai guru mursyid, kalau penyakit ini ditangani oleh pakar perubatan, mereka akan merujuk kepada kes 'kemurungan'.  Sebab itu kes kemurungan melampau, sangat membahayakan kerana ada pesakit yang akan bertindak membunuh diri apabila emosinya sudah tidak terkawal.Merujuk kepada 'doktor hati' pula, merajuk ini sebenarnya berpunca dari hati yang kurang ada rasa kehambaan. Bila tidak rasa diri hamba, dia akan merasakan yang dirinya itu tuan. Sebagai tuan, dia perlulah dimuliakan. Kata-katanya perlu didengar dan dikotakan.Sebenarnya, hatinya marah kerana tidak diberi perhatian. Tetapi mungkin kerana malu atau tidak ada kuasa, ataupun mungkin kerana beranggapan yang marah-marah itu satu sikap yang lebih tidak baik, marahnya pun tidak dilepaskan. Sebaliknya, dia mengalihkan marahnya kepada merajuk. Dengan merajuk, orang akan faham yang dia sebenarnya marah walaupun dia sekadar mendiamkan diri sahaja.

Jadi, apakah merajuk lebih baik dari marah? Atau sifat marah lebih baik daripada merajuk?Kedua-duanya adalah sifat terkeji yang mesti diungkai. Kedua-duanya timbul dari rasa diri mulia yang mesti dihormati. Lebih ditakuti lagi kalau orang yang merajuk itu menyangka yang sikapnya itu tidak salah atau dirinya itu lebih baik daripada orang yang marah-marah. Dia sebenarnya sudah tertipu. Dan kalau dia tidak bertaubat atas dosanya ini, dia akan dihukum di akhirat kelak.

Bagaimana pula cara seorang 'doktor hati' atau guru mursyid mengubati sikap merajuk?Untuk mengubati sikap merajuk, 'pesakit hati' perlulah ditanamkan sifat berTuhan dan sifat kehambaan. Sifat berTuhan ialah merasakan yang Tuhan itu Maha Berkuasa. Dia boleh timpakan apa sahaja ke atas kita sama ada perkara yang kita suka ataupun tidak. Kalau kita membantah sama ada dengan cara marah-marah atau merajuk, kita bukan sahaja marah atau merajuk kepada orang yang menyakiti hati kita itu, tetapi kita juga sebenarnya menentang takdir Tuhan ke atas diri kita. Kalau Tuhan tidak izinkan perkara itu berlaku ke atas kita, tentu ia tidak akan berlaku. Berlakunya ia ke atas kita ialah kerana Tuhan memang hendakkan perkara itu berlaku.

§ifat kehambaan pula ialah merasakan yang kita ini hamba yang lemah dan tidak berkuasa. Siapalah kita yang hendak menolak takdir Tuhan. Kita harus terima apa sahaja yang Tuhan timpakan ke atas kita. Kalau orang tidak muliakan kita, memang kita pun tidak layak untuk dimuliakan.Sebagai hamba, kita juga merasakan yang diri kita banyak berdosa. Justeru itu, layak sangatlah kalau hati kita disakiti, moga-moga dengan kita bersabar, Tuhan akan hapuskan dosa-dosa kita. Kita juga mungkin sudah lebih banyak menyakiti hati orang lain. Lantaran itu, kita patutlah bersabar bila hati kita sedikit sebanyak disakitkan pula.

Moga dengan panduan ini, kita berupaya untuk bersabar dan memahami apa sahaja ujian mendatang itu adalah sebagai penghapusan dosa kerana kita memang hamba yang sering berdosa.  Moga dengan berkat karomah mursyid, kita dipermudahkan dalam menempuh sebarang ujian yang datang dan pergi.

Selagi hayat dikandung badan, memang kita tidak akan sunyi daripada ujian demi ujian kerana ia adalah satu peperiksaan yang keputusannya kita akan perolehi berdasarkan bagaimana kita redho atau tidak dengan ujian itu.  Ujian juga merupakan sebahagian daripada tanda kasih sayang Tuhan kepada hamba-hambaNya.  Para wali wali Allah itu sentiasa merasakan, jika tiada ujian itu, mungkinkah Allah sudah tidak mengasihi mereka, begitulah anehnya dan luarbiasanya orang-orang yang mempunyai hubungan hati yang kuat dengan Tuhannya.  Moga ianya memberi manfaat terutama untuk diriku dan pembaca semua.  Moga kita sentiasa dalam perlindungan dan rahmat Allah.  Janganlah hati kita terputus hubungan dengan guru mursyid untuk membimbing hati-hati kita semua. Aamiin.

Artikel ini dipetik dan diolah semula daripada blog ' Aboutmiracle.wordpress'

No comments:

Post a Comment