BAB 21 - MADAH UNTUK PEMIMPIN DAN ULAMA
1
Pemimpin yang sejati itu dilantik bukan kerana menonjolkan diri bukan hasil melobi tapi kerana pautan hati sebab ia ada karisma dan baik personaliti.
2
Dalam pengalaman pemimpin yang juga guru tareqat, lebih ditaati daripada pemimpin yang bukan guru bertareqat. Buktinya pemimpin tareqat diterima orang hingga ia mati, tapi pemimpin selain itu, masa hidupnya lagi sudah tidak diterima orang.
3. Jarang-jarang kita dapati pada akhir zaman, seorang pemimpin yang berhimpun padanya sifat-sifat adil, mesra, kasih sayang dan pemurah.
4 Tidak akan berlaku adil seorang pejuang Islam yang berjuang tanpa rasa takut akan Allah dan tidak bimbang dengan dosa.
5
Seseorang pemimpin itu hendaklah berilmu dan berpengalaman, mesra, adil, pemurah, sabar dan berlapang dada.
6
Apabila jawatan kadhi menjadi rebutan, jawatan mufti menjadi idaman, jawatan imam jadi sumber cari makan, maknanya hati ahli agama sudah tidak takut dengan Allah lagi.
7
Kebiasaan ulama tidak rasmi terutama golongan sufi ada pengikut dan dihormati. Sebaliknya ulama rasmi tidak ada pengikut, cuma ia ditakuti kerana ada cemeti.
8
Pilihlah pemimpin yang takut dengan Allah, yang minta dibantu untuk menegakkan kebenaran dan minta ditegur kalau ia bersalah. Ia tidak menyebut jasanya, dan tidak banyak membuat janji-janji manis.
9
Antara kelemahan pemimpin Islam pada waktu ini, tidak ada sifat warak dan pemurah.
10
Berani waktu berkuasa, bukan keberanian yang hakiki dan sejati. Keberanian yang hakiki dan sejati itu, ialah berani menegakkan kebenaran,bila-bila masa dan di mana saja, sekalipun tanpa kuasa.
11
Bertukar fikiranlah dengan hukamak, bertanyalah hukum dengan ulama, carilah tenaga dengan orang banyak, mintalah didoakan oleh orang warak, berhiburlah dengan anak-anak, berilah pertolongan kepada yang berkehendak.
12
Kalau dalam perbincangan, setiap orang menginginkan kebenaran itu keluar dari mulut orang lain, maka majlis itu akan diberkati oleh Allah, kerana majlis akan bersih daripada konflik jiwa, sifat sombong dan riyak.
13
Dalam majlis muzakarah, kalau ada orang yang tidak ikhlas, akan terjadilah majlis mujadalah dan berbalah.
14
Perjuangan yang hanya menentang musuh lahir, tidak menentang musuh batin, ialah perjuangan yang sudah ada kerjasama dengan musuh batin.
15
Janganlah bermusyawarah dengan orang-orang ini, kerana tidak akan dapat hasil yang baik : orang yang sedang sakit, orang yang lapar, orang yang mengantuk, orang yang susah hati, orang yang bodoh, orang yang sedang mabuk cinta.
16
Air kalau mengalir tanpa saluran atau parit, ia akan melimpah dan memusnah. Begitulah semangat kalau tidak ada disiplin, dan tidak terpimpin, ia akan merusak dan memusnah.
17
Kadang-kadang orang yang diberi kuasa oleh pihak yang berkuasa lebih menunjukkan kuasa daripada pihak yang berkuasa. Orang ini bukan sahaja tidak kenal pihak berkuasa, tapi sebenarnya Yang Maha Kuasa pun mereka tidak kenal.
18
Keamanan tidak akan wujud, selagi pengawal keselamatan dan penjaga keamanan sendiri belum selamat dan aman.
19
Orang yang baik itu, sesuatu dasar yang tidak baik, akan diubah menjadi baik dan akan dijadikan landasan perjuangannya. Orang yang jahat itu,walaupun sesuatu dasar itu baik, tetapi dia tidak akan mengambilnya sebagai jalan dalam perjuangan.
20
Menghimpun orang untuk mendengar kebaikan adalah mudah, tetapi menghimpun orang untuk membuat kebaikan adalah payah.
21
Berfikirlah, berzikirlah, dan bertindaklah.
22
Berkawan dalam politik, selalu saja bertukar ganti, kerana persahabatan itu bergantung kepada faktor kepentingan diri.
23
Bilamana dalam satu bangsa itu sudah terjadi kasta-kasta, setiap golongan hanya dapat bergaul dengan golongannya saja, tandanya bangsa itu sudah berpecah-belah.
24
Bersatu tidak sama dengan berkumpul, bersatu ikatan jiwa, berkumpul ikatan fisikal, bersatu diikat oleh tali Allah, berkumpul diikat dengan kepentingan dunia.
25
Antara sikap ulama yang makan gaji pada akhir zaman ialah, kurang bergaul dengan masyarakat umum, kalaupun ada di majlis rasmi, cepat memberi fatwa apabila orang bawahan membuat kesalahan, tapi memejamkan mata apabila ia melibatkan orang atasan.
26
Ada orang membuat kerja masyarakat tapi tidak mahu bermasyarakat, demi menjaga status diri, inilah dia yang dikatakan memencilkan diri dari masyarakat, sendirian dalam keramaian.
27
Kebanyakan pemimpin rosak setelah berkuasa, kerana tidak tahan berhadapan dengan pangkat dan harta, sebab itu jangan terlalu ghairah dengan kuasa. Jika kita lihat pihak berkuasa salah menggunakan kuasa, nasihatkan saja serta doakan ia, tidak usah rebut kuasa yang ada di tangannya.
28
Antara perkara-perkara yang melalaikan, tetapi tidak disedari ialah, majlis kertas kerja yang tidak menghasilkan kerja, yakni bicara banyak tapi tidak diwujudkan.
29
Perjuangan manusia pada akhir zaman ialah membanyakkan fail, carta dan kertas kerja, ia boleh mengelabui mata, tetapi tidak menghasilkan apa-apa.
30
Banyak orang jadi terkenal sewaktu ada jawatan rasmi, tapi apabila jawatan sudah tidak ada lagi, ia akan hilang tidak tahu mana pergi, orang ramai pun tidak kenal dia lagi.
31
Pemimpin Islam yang sejati, tutur bahasa, gerak-geri dan sikapnya boleh diikuti, selalu mengingatkan pengikutnya tentang tipu daya dunia, dan mengajak mereka mengutamakan akhirat.
32
Pemimpin politik orang hormati sewaktu ia masih berkuasa, apabila tidak ada kuasa orang tidak ambil peduli, tidak seperti pemimpin agama, ia dihormati sampai ia mati.
33
Pemimpin yang tidak ada kuasa, jika dapat menundukkan orang, ini luar biasa, tapi pemimpin yang berkuasa, kalau boleh tundukkan orang lain, bukanlah perkara luar biasa, karena orang takut dengan kuasanya.
34
Antara kelemahan seseorang pemimpin itu ialah, pengikutnya takut kepadanya kerana hukumannya, bukan kerana hormat kepadanya.
35
Antara kejayaan seseorang guru, atau pemimpin atau ayah ialah, dapat mendidik orang-orang di bawahnya hingga dapat rasa hormat dan takut kepadanya, bukan hormat sahaja dan bukan takut sahaja.
36
Sesuatu kuasa itu akan lebih lama diperolehi daripada sesuatu bangsa, kalau ia dapati melalui ilmu dan tarbiah, daripada dengan kekerasan semata-mata.
37
Seseorang pemerintah biasanya ditakuti oleh orang yang di bawah pemerintahannya, tapi di rumah dia tidak ditakuti oleh ahli-ahlinya, bahkan dia yang takut kepada isteri.
38
Perbincangan antara orang yang tidak berilmu biasanya berlarut-larut, perbincangan antara mereka yang sama-sama berilmu menghasilkan buah fikiran, tapi belum tentu diamalkan, perbincangan antara orang-orang yang bertaqwa, ringkas, padat dan sama-sama dapat mengamalkan.