Salam semua, masih lagi kita di bulan berkat, bulan kelahiran baginda Rasul yang mulia, 24 R.Awwal bersamaan 5 Feb 2013. Moga kita sama-sama dapat mengutip berkat drp baginda Rasul dan orang -orang yang menempuh jalan hidup baginda dan para sahabat baginda serta ahli keluarga baginda yang mulia, yang suci dan yang terpilih.
Di bawah ini, saya petik sebuah artikel yang sangat menarik dan murni untuk dikongsikan, sama-samalah kita berdoa semoga anak-anak dan keturunan kita bakal mendapat calon isteri seperti yang dikhabarkan dalam artikel dibawah. Sungguh banyak panduan yang berguna, perkahwinan itu bukanlah sesuatu 'trial and error', ia adalah hala tuju untuk keselamatan kita dan ahli keluarga kita di akhirat sana. Panduan dan jalan berkat sudah tersedia...'tepuk dada, tanya selera'...semua terpulang kepada kita, kalau kita ada iso tersendiri, Allah lebih-lebih lagi mempunyai iso yang Maha tinggi lagi terpuji. Maha suci Allah daripada segala sangka jahat hamba-hambaNya.
Selamat membaca, petikan drpd blog suaraharamain, moga bermanfaat sebagai saham akhirat..
SIAPAKAH CALON PEREMPUAN YANG BAIK DIJADIKAN ISTERI.
Islam memberikan panduan kepada lelaki dalam memilih calon untuk dijadikan isterinya. Rasul saw berpesan:
“Kahwinilah perempuan atas dasar kecantikannya, hartanya, keturunannya, atau agamanya. Maka pilihlah atas dasar agamanya nescaya kamu akan selamat dan aman bahagia.”
Di zaman kini, pilihan manusia kebanyakannya atas dasar mereka yang berduit. Sesiapa yang hendak menjadi pasangan hidup kena berduit, kalau hanya ada lidah dan gigi tidak layak, sekali pun ada cita-cita hendak bela Islam. Walaupun calon suami isteri sudah saling merestui, masalah datang dari keluarga kerana salah seorang tidak berduit atau tidak berharta. Inilah realiti yang berlaku di dalam masyarakat Islam sekarang, samada di negara kita mahupun di seluruh dunia.
Bagi mereka yang berpeluang hidup dan bermasyarakat di Timur Tengah, inilah antara masalah besaryang dihadapi umat Islam di sini.
Kalau tiada ratusan ribu riyal atau puluhan ribu dinar, kahwin tinggal angan-angan.
Dengan itu Yahudi mengambil peluang di atas kerosakan ini dengan melakukan perniagaan pinjaman wang kepada lelaki yang mahu berkahwin. Ini realiti. Bagi yang memiliki anak perempuan, inilah masanya untuk 'menjual' anak-anak mereka. Bagi yang berkelulusan tinggi, harganya pun tinggi. Bagi yang sijil sekolah menengah, mungkin dapat separuh harga (mas kahwin). Berlakulah masalah andartu yang berlebihan di Arab Saudi kerana sistem ini. Di Syria, lelaki berumur 40 tahun baru boleh berkahwinkerana mahu mencari duit. Itu pun belum tentu kekal. Pinjaman masih berhutang tapi sudah bercerai.Berjaya Yahudi merosakkan kehidupan umat Islam!
Sabda baginda lagi:
“Wanita yang paling baik itu ialah yang murah mas kahwinnya, yang senang nikahnya, yang baik akhlaknya. Dan wanita yang jahat itu ialah yang mahal mas kahwinnya, yang susah nikahnya, dan buruk akhlaknya!”
Apa yang Rasul gambarkan di atas ini, yang berlaku kini adalah sebaliknya. Masing-masing berlumba dengan nilaian mas kahwin yang paling tinggi, dengan 1001 permintaan yang tidak masuk akal. Jelaslah masyarakat Islam telah dirosakkan Yahudi. Apa yang menjadi kesukaan baginda, telah dicabut dari umatnya.
Bukankah membina keluarga Islam itu antara yang dituntut oleh Allah? Tuhan minta kita tegakkan dan perjuangkannya bermula pada diri dan keluarga. Duit bukanlah segala-segalanya.
Namun Tuhan berlepas tangan kepada umat Islam bilamana sudah tersilap berfikir bahawa wanglah penyelesai segala-galanya.
Baginda rasul pernah sabdakan iaitu;
ستكون في أخر الزمان من أمتي دينهم دينارهم وقبلتهم النساء
“Akan berlaku suatu masa di akhir zaman dikalangan umatku, agama mereka adalah wang dan kiblat mereka adalah perempuan”.
Di dalam Islam, masyarakatnya terbahagi kepada dua. Pertama Awwamul Muslimin, yang ke duaMuqarrabin. Golongan pertama ialah golongan yang Islamnya cukup syarat. Sekadar tidak melakukan yang haram, sembahyang lima waktu dan lain-lain amalan asas dalam Islam. Berbeza dengan golongan yang ke dua, mereka ini ialah golongan yang hidup mati untuk Islam. Islam itu tidak di mulut tapi dalam perlaksanaan. Islam tidak di slogan tapi dalam perbuatan. Islam itu dihayati dan diamalkan.Ini berlaku di dalam masyarakat Islam terdahulu. Rasul dan para sahabat (Muhajirin dan Ansar) adalah golongan yang sanggup mati untuk Islam. Manakala masyarakat awam adalah sebagai masyarakat yang memeriahkan amalan Islam bersama.
Berkenaan urusan kehidupan, tak sama apa yang baginda lakukan terhadap para Muhajirin dan Ansar dengan masyarakat awam di zaman itu. Muhajirin dan Ansar, apa-apa yang dibuat adalah restu dan izin dari Rasul. Kalau baginda setuju, mereka buat. Kalau baginda menolak, mereka tinggalkan.
Begitulah juga dalam hal perkahwinan.
Bagi masyarakat awam, panduan di dalam hadis yang pertama itu sudah memadai, dan itulah panduan paling minima atau paling ringan dan paling rendah, dan itulah jaminan dari baginda Nabi saw. Namun bagi golongan Muqarrabin, orang-orang bertaqwa, itu bukan pilihan mereka dan itu bukan untuk mereka.
Adakah ini bercanggah?! Tidak!
Sabda Nabi saw:
حسنات الأبرار سيئات المقربين
“sebaik orang soleh seburuk orang bertaqwa.”
Bagi Muqarrabin, berjemaah adalah perlu dan wajib. Sabda Nabi lagi:
عليكم بالجماعة
“Wajib ke atas kamu berjemaah!”
Jemaah ini mesti ada pemimpinnya. Jika zaman Rasul, bagindalah pemimpinnya. Zaman Khulafaur Rasyidin, para khalifahlah pemimpin mereka. Di zaman-zaman lain, mujaddid adalah pemimpin yang diutuskan sebagai wakil Nabi saw. Merekalah yang perjuangkan hidup berjemaah ini, dan Awwamul Muslimin memeriahkan masyarakatnya.
Contoh di dalam masyarakat di zaman Khulafaur Rasyidin, para sahabat atau tabiin atau tabiut tabiinmenyerahkan urusan perkahwinan kepada Khalifah atau gabenor yang dilantik. Hinggalah kita mendengar kisah Sayyidina Umar mencari lelaki-lelaki untuk dikahwinkan, kerana ada perempuan-perempuan atau keluarga yang menyerahkan diri atau anak mereka untuk dikahwinkan dengan pilihan Khalifah. Ini adalah trend salafussoleh.
Ini adalah trend mencari berkat. Restu pemimpin adalah keselamatan.
Ini adalah ISO salafussoleh. Awwamul Muslimin adalah kualiti rendah yang diluluskan oleh Rasulullah. Manakala Muqarrabin dan Muttaqin, ini adalah kualiti yang terbaik. Sudah tentu tak sama. Dunia pun mempunyai ISO untuk menentukan barang yang berkualiti rendah, dan yang berkualiti tinggi. Sudah tentu Allah ada ISO-Nya tersendiri!
Di dalam Islam lagi, suami adalah jambatan bagi isteri untuk menuju akhirat. Jambatan yang akan membantu para isteri mendapatkan Allah dan Rasul. Lihatlah di zaman Rasul dan para sahabat. Para janda diselamatkan, dikahwinkan setelah bercerai atau kematian suami. Ini bukan soal keinginan nafsu, tapi ini adalah keselamatan buat isteri! Kata baginda saw, wanita adalah makhluk yang mudah masuk syurga jika taat kepada suaminya dan paling mudah masuk neraka jika durhaka dengan suami.
Kerana inilah para sahabat menyelamatkan janda-janda atau balu-balu sahabat yang lain.
Bagi calon para ikhwan, suami dan isteri adalah hubungan yang disyariatkan demi membesarkan Allah dan Rasul. Ertinya, suami atau isteri tidak layak membesarkan pasangan masing-masing, mereka berpasangan hanya kerana hendak membesarkan Allah dan Rasul.
Persiapkan hati wahai bakal bergelar suami atau isteri! Supaya hati dapatkan Allah, dan ianya sebagai hasil ibadah munakahah yang kita lakukan. Hati itu ialah hati yang sudah kosong dari segala sifat mazmumah seperti sombong dan cinta dunia. Allah wajibkan setiap ibadah yang kita hendak lakukan bermula dengan memastikan hati kita hanya untuk Allah. Supaya hati tidak merasa apa-apa selain rasa hamba dan rasa hina. Hambakan memang hina?!
Maka disini kita kena dapatkan panduan dari Mursyid untuk menjayakan Islam termasuk disudut perkahwinan, kerana mursyidlah akan bertanggungjawab kepada keluarga tersebut. Itulah keutamaan di sini, taat setaat-taatnya pada mursyid. Pilihan yang lebih tepat di sini ialah berpandukan nasihat dari mursyid kerana dia lebih mengenali dan lebih tahu bagaimana hendak menangani masalah kita. Dan dialah yang akan memandu kita dalam menangani isteri kita. Bahkan mursyid sangat bertanggungjawab kepada diri dan isteri kita. Mursyid akan terus pandu supaya kita selamat di dunia dan di akhirat.
No comments:
Post a Comment