Translate

Friday, 12 July 2013

BAB 5 - RAHSIA TERBANGUNNYA UMMAH

BAB 5 - RAHSIA TERBANGUNNYA UMMAH

KONSEP 50-50 (fifty-fifty) yang diamalkan dalam kehidupan umat Islam kini, ternyata telah gagal untuk menjadikan umat Islam satu bangsa yang gagah. Konsep menyamakan dunia dan Akhirat yang dipertahankan itu bukan saja tidak boleh mengangkat ummah ke tangga kejayaan, malah 1001 macam masalah yang timbul dalam masyarakat pun tidak mampu diselesaikan.

Pegangan kepada konsep fifty-fiftynampaknya telah menjunamkan kita kepada kebinasaan yang amat memalukan. Lalu, untuk keluar dari kesilapan ini, kita mesti mencari satu pengertian dan kaedah baru dalam soal corak hidup kita dunia dan Akhirat.Kalau selama ini kita memburu kemajuan dan kejayaan duniawi, sedangkan yang diburu tidak juga dapat-dapat, maka tentu kita kena cari jalan lain untuk mendapatkan apa yang dikejar-kejarkan itu. Seperti seorang yang memburu bayang-bayang sendiri, tidak pernah dapat-dapat.

Maka supaya bayang-bayang itu dapat dikuasainya, dia kena bertindak lari dari bayang-bayang itu. Yakni mengalih hala perjalanannya sebanyak 180 darjah, hingga arah yang baru ini bertentangan sungguh dengan yang awal. Maka akan terjadilah hal di mana bayang-bayang itu pula yang akan memburunya untuk mendapatkannya. Inilah yang selalu disebut-sebut oleh ulama-ulama yang mata hatinya tajam atau ulama-ulama Akhirat. Kalau kita buru dunia, dunia akan lari dari kita. Tetapi kalau kita buru Akhirat, nanti dunia mengikut kita.Sudah lama kita melupakan Akhirat kerana inginkan dunia. Tetapi nyata dunia tidak dapat, Akhirat pun terlepas.

Maka mari kita utamakan Akhirat, moga-moga dunia akan terkait sama. Ini terbukti berlaku pada generasi salafussoleh, yang berjaya menawan dunia sewaktu dalam perjalanan mereka menuju ke Akhirat.Hidup mereka diniatkan untuk ALLAH dan Akhirat. Dunia dijadikan alat untuk mencapai matlamat tadi. Bila dunia diambil sebagai alat dan bukannya matlamat, hasilnya ialah dunia dapat dibolot sebanyak-banyaknya dan terbangun segala hukum-hakam ALLAH serta terbina satu tamadun yang luar biasa.Itulah bukti sejarah yang tidak boleh diragu-ragukan lagi.

Kiranya benar kita mahu menjadi bangsa yang gagah, bertamadun dan berjaya menawan kembali dunia ini dari tangan orang-orang kafir, kita mesti jejaki perjalanan sejarah itu. Kita tidak akan rugi bahkan kita akan dapat untung besar. Kita seolah-olah seorang pengail yang dapat menangkap seekor ikan besar, hasil mengorbankan seekor ikan kecil sebagai umpannya.Umat Islam mesti mengambil 1% sahaja dunia untuk dirinya.

Manakala 99% ialah untuk Akhirat. Dunia yang dimaksudkan ialah hartanya, wangnya, tenaganya, fikirannya, masanya dan jawatan serta apa-apa juga kuasa yang lain. Semuanya itu diniatkan untuk jihad fisabilillah, kecuali 1% darinya untuk diri dan duniawi. Contohnya, kita ada duit $10. Maka $1 sahaja untuk keperluan kita, selebihnya ialah untuk masyarakat. Yakni niatkan kerana ALLAH sebagai simpanan Akhirat.Contoh lain, katalah kita ada masa lapang lima jam dalam sehari. Maka satu jam sahaja untuk diri, keluarga dan lain-lain lagi. Manakala empat jam lagi adalah untuk buat kerja-kerja masyarakat, perjuangan di jalan ALLAH,hablumminannas dan hablumminallah.

Demikianlah juga dengan perkara-perkara yang lain.Dengan kata-kata lain, untuk dunia l%, untuk Akhirat 99%. Satu peratus kita guna untuk buat kerja-kerja duniawi yang halal manakala 99% daripada milik kita di dunia ini kita korbankan untuk tujuan ibadah kepada ALLAH SWT. Yang faedah dari pengorbanan kita itu, akan diperolehi oleh masyarakat dan negara. Pahalanya dapat pada kita. Pembangunan tamadunnya berlaku dengan pesat dalam negara.

Hal ini boleh berlaku beginiApabila masing-masing dari kalangan umat Islam menyerahkan 99% daripada miliknya kepada orang lain, yakni masyarakatnya, cuma 1% untuk dirinya, maka raja-raja, menteri-menteri, bekas menteri, orang-orang kaya, pemimpin-pemimpin dan jutawan-jutawan yang semuanya menjadi stok simpanan Wang itu, hendaklah menggunakan kekayaan mereka untuk berbagai-bagai projek bagi kepentingan masyarakat seperti:Mengeluarkan biasiswa untuk rakyat yang memerlukan.Membangunkan bangunan-bangunan yang diperlukan oleh masyarakat seperti bangunan-bangunan sekolah, pusat pengajian tinggi, hospital, institusi-institusi penyelidikan ilmiah, pejabat-pejabat, rumah-rumah anak yatim, janda-janda dan fakir miskin, mewakafkantanah dan kenderaan, membina kilang-kilang untuk mengeluarkan segala barangan keperluan masyarakat yang halal, dan lain-lain.

Melakukan khidmat-khidmat lain untuk masyarakat seperti menyediakan perahu-perahu atau bot sewaktu banjir atau keperluan harian mereka untuk menyeberang, mendirikan perhentian bas, tandas-tandas awam, jalan raya, rumah-rumah tetamu dan rumah rehat untuk musafir kelana, serta rumah tumpangan murah untuk orang-orang miskin yang berjalan ke bandaryang tidak mampu menyewa hotel, membuka kebun-kebun dan ladang-ladang wakaf.Menjadi bank kepada masyarakat dengan menghulurkan pinjaman tanpa bunga dan kalau perlu bantuan percuma.

Bila orang-orang kaya menyumbang kekayaan mereka untuk tujuan-tujuan tadi, dengan diniatkan kerana ALLAH, untuk jihad fisabilillah, yakni dengan harapan mendapat pahala yang besar di Akhirat nanti, maka hasilnya masyarakat Islam mempunyai macam-macam pembangunan kepunyaan bersama. Ertinya masyarakat mereka kaya-raya. Bila masyarakat sudah kaya, dengan sendirinya setiap individu dalam masyarakat boleh hidup dengan serba ada. Hak masyarakat dikongsi bersama. Orang-orang miskin itu hidupnya tidak miskin lagi. Walaupun mereka tiada harta benda yang banyak, tetapi mereka dapat hidup dengan makmur kerana semua keperluan mereka diperolehi dari masyarakatnya yang serba ada. Sebab itu dalam Islam, miskin bukannya satu masalah.

Yang jadi masalah ialah orang kaya yang tidak berkhidmat kepada orang miskin dan masyarakatnya.Itulah bezanya masyarakat yang menjalankan cara hidup Islam dengan masyarakat yang tidak menjalankan sistem hidup Islam. Di dalam sistem hidup Islam, tidak berlaku orang-orang kaya terlalu kaya dan orang-orang miskin terlalu miskin. Keadaannya seimbang. Sebaliknya dalam masyarakat yang tidak mengamalkan sistem Islam, berlaku keadaan di mana orang kaya terlalu kaya, orang miskin terlalu miskin, bahkan terbiar. Inilah dasar sistem kapitalis.

Ketidakseimbangan ini akan menimbulkan pula berbagai-bagai masalah lain dalam masyarakat seperti pencurian, pembunuhan, kasta-kasta, hasad dengki, hidup nafsi-nafsi dan lain-lain lagi.Masalah-masalah ini timbul adalah kerana orang-orang miskin tidak dibela dan tidak dipedulikan oleh orang-orang kaya, pemimpin-pemimpin, menteri-menteri dan raja-raja mereka. Nasib mereka yang miskin ini diserahkan kepada kerajaan semata-mata.

Dalam keadaan itu ketenangan dan keamanan tidak mungkin berlaku. Sedangkan dalam masyarakat yang orang kayanya mengambil berat tentang rakyat bawahan, yakni dengan mengorbankan sebahagian besar kekayaan mereka untuk si miskin, dengan niat untuk mendapat pahala di Akhirat, akan berlaku hubungan baik antara tingkatan-tingkatan manusia dalam masyarakat.

Sehingga wujudlah rasa tenang dan aman di hati-hati mereka dalam kehidupan seluruhnya.Tetapi hal ini tidak berlaku nampaknya, sekalipun dalam negeri atau negara-negara umat Islam. Mana ada raja-raja di dunia atau presiden-presiden, menteri-menteri atau bekas-bekas menteri, jutawan-jutawan dan juga pemimpin masyarakat yang sanggup hidup sederhana kerana kekayaannya dikorbankan ke jalan ALLAH sebagai simpanan di Akhirat.

Dengan menyalurkan pada masyarakat seperti yang disebut di atas tadi.Yang ada hari ini di seluruh dunia ialah, orang-orang besar serta orang-orang kaya itu menimbun-nimbun harta untuk peribadi dan keluarga tanpa puas-puas. Mereka tidak ambil kisah dengan nasib rakyat, yang serba daif, yang sesetengahnya itu kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tidak masuk dalam perancangan perjuangan mereka untuk membangunkan kekayaan pada masyarakat agar dengan itu orang-orang miskin terbela dan tamadun umat terbangun dalam negara.

Sebab itu kita tidak dengar ada raja-raja atau menteri-menteri atau bekas menteri serta jutawan yang keluarkan biasiswa atas nama peribadinya. Walhal kekayaan mereka itu sesetengahnya hampir-hampir sama dengan kekayaan sebuah negara. Lebih-lebih lagilah tidak ada jalan raya, bangunan sekolah atau hospital dan lain-lain lagi yang dibangunkan oleh mereka. Kalau ada pun terlalu kecil untuk menampung keperluan masyarakat dan negara seluruhnya.

Semuanya harapkan kerajaan sahaja. Yang mana kerajaan pun cuma beri sedikit sahaja untuk tujuan itu. Kerana sebahagian besar wang negara masuk poket sendiri dan kaum keluarga serta klik-kliknya sahaja. Tanah perkuburan raja-raja atau bangunan maqam mereka sahaja lebih mahal dari rumah rakyat. Padang golf mereka sama harganya dengan ribuan rumah rakyat. Sebuah kereta mereka sama harganya dengan berpuluh-puluh buah rumah rakyat.Hasilnya, harta kepunyaan masyarakat dalam negara itu tidak pun cukup untuk membela hidup masyarakat seluruhnya.

Kadang-kadang harta seorang bangsa asing sahaja lebih banyak daripada kepunyaan umat Islam. Orang lain yang kuasai kekayaan dan tamadun negara itu. Bila-bila masa negara boleh dilelong oleh bangsa asing itu. Begitulah akibat umat Islam terutama pembesar-pembesar, pemimpin-pemimpin dan orang-orang kaya yang cintakan dunia. Sudahlah umat hidup ala kadar bahkan ada yang sentiasa tidak cukup, negara pun berada dalam tangan orang lain.

Tamadun sendiri tidak ada, apalagi untuk jadi negara yang boleh menaungi negara-negara lain di dunia, jauh sekali.Mungkin ada orang bertanya, mengapa bangsa asing itu boleh jadi empayar walaupun mereka tidak cinta Akhirat? Pada saya, ALLAH SWT tidak akan samakan pertolongannya pada orang kafir dan pada umat Islam. Orang kafir dibantu kerana quwwah, (kekuatan lahir) sedangkan orang Islam dibantu kerana taqwa.

Orang kafir dengan kekuatan lahir, orang Islam dengan kekuatan iman, ukhuwah, dan kefahaman dan keselarasan. Jadi tanpa iman pun orang kafir boleh jadi empayar. Tetapi tidak dengan umat Islam. Selagi umat Islam tidak bertaqwa, ALLAH akan biarkan mereka.

Sabda Rasulullah SAW:Terjemahannya: Akan tiba masanya umat Islam akan dikeronyok oleh satu golongan (musuh) sepertimana sirakus berhadapan dengan hidangan makanan. Para Sahabat dengan hairan bertanya, “Apakah kerana bilangankita sedikit, ya Rasulullah?” Baginda menjawab,“Tidak, bahkan kamu ramai tetapi kamu umpama buih-buih di permukaan air. Akan ALLAH cabutkan perasaan gerun musuh terhadap kamu sebaliknya mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan.” Sahabat bertanya lagi, “Apakah wahan itu?” Sabda baginda,“Gila dunia dan takut mati.”(Riwayat Abu Daud)

Kata-kata Rasulullah SAW itu sudah tepat berlaku depan mata kita. Di seluruh dunia hari ini, umat Islam bagaikan buih-buih di lautan. Masing-masing mahu membangun macam orang-orang kafir membangun. Mereka meniru orang kafir. Tetapi hasilnya mereka jadi terhina. Sebaliknya orang kafir mulia. Sebab ALLAH tidak akan membantu selagi mereka tidak mengikut jejak langkah Rasulullah SAW dan salafussoleh. ALLAH berfirman:Terjemahannya: ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah apa yang ada dalam diri mereka.(Ar Ra'd 11)

Yakni dengan menjadi orang yang bertaqwa. Dengan taqwa, manusia akan mampu mengorbankan kepentingan dunia, untuk diserahkan kepada masyarakat, demi mengharapkan pahala di Akhirat. Yakni keredhaan dan keampunan ALLAH SWT. Hanya dengan itu saja pembangunan-pembangunan negara dan masyarakat dapat dimaksimumkan sehingga umat Islam tidak perlu lagi bersandar pada orang lain.Kata-kata ini akan jadi praktikal kalau raja-raja, menteri-menteri dan pemimpin-pemimpin bersedia menurunkan gaji mereka. Ambil untuk keperluan sahaja.

Selebihnya untuk kepentingan rakyat. Buat projek-projek’ ekonomi, faktori-faktori, estet-estet dan lain-lain keperluan rakyat untuk kemudahan mereka. Nanti negara akan pesat membangun sebagaimana negara-negara maju.Hari ini di Malaysia, projek kerajaan gagal. Atas dasar itu, mungkin orang-orang besar dan orang-orang kaya ada alasan untuk tidak mahu membantu rakyat lagi. Kerana rakyat tidak pandai menggunakan amanah mereka.

Sebenarnya rakyat jadi tidak amanah dan tidak jujur serta khianat itu adalah kerana mereka tidak dididik dengan betul oleh pemimpin-pemimpin mereka dan juga ulama-ulama, pewaris Nabi yang ALLAH amanahkan tugas itu. Sebab itu dalam usaha hendak membina masyarakat Islam yang tulen, semua pihak mesti jalankan tugasnya dengan betul. Pemimpin memerintah dengan adil serta mendidik rakyat. Orang kaya jadi bank, korbankan harta bendanya. Ulama mendidik dan mengajar. Si miskin redha dan sabar. Lelaki bertanggungjawab. Perempuan taat dan malu.

Begitulah seterusnya yang lain-lainnya.Jadi untuk menyelesaikan masalah rakyat yang tidak amanah ini, para pemimpin dan para ulamalah yang mesti bekerja keras mendidik mereka. Didik dengan ilmu, Islam, iman dan taqwa.Sebab itu demi pembangunan negara dan masyarakat yang baik, saya berseru kepada semua pihak pemimpin-pemimpin, orang-orang kaya, ulama-ulama-agar mengorbankan kepentingan diri untuk masyarakat yang diamanahkan oleh ALLAH SWT kepada kita.

Kalau kita juga tidak amanah dengan ALLAH, ketahuilah bahawa azab ALLAH itu maha pedih. Tetapi kiranya kita buat kerja ALLAH itu, ganjaran-Nya terlalu besar. Kalaulah kita dapat ambil 1% sahaja dari dunia ini untuk kepentingan diri, 99% lagi untuk jalankan amanah ALLAH itu, maka ALLAH akan angkat darjat kita setinggi-tingginya di Akhirat nanti.

Manakala di dunia, kita akan jadi tuan-tuan yang mencatur dunia. Segala kekayaan dan tamadun dunia, ALLAH akan serah kepada kita.Untuk itu kita kena tukar konsep 50:50 itu kepada 1:99. Fifty-fifty itu bukan sahaja ternyata gagal membina tamadun dan empayar Islam tetapi juga telah menimbulkan 100 masalah yang tidak boleh diselesaikan.

=== sekian ===

No comments:

Post a Comment