Bersyukur kita, ke
hadrat Allah swt, hari ini Ramadhan yang keempat tahun 1433H, barulah
berkesempatan untuk menulis di blog ini. Sekejap sahaja masa berlalu, hari ini
ada berita yang sudah tertulis dan tersurat, ayah mertuaku baru sahaja pulang
ke rahmatullah pada tengahari selepas zohor hari ini, moga beliau dalam
rahmat dan kasih sayang Allah, perginya dalam minggu pertama Ramadhan,
innalillahiwainnailaihiraajiuun, Al Fatehah kepada arwah Ahmad, ayah
mertuaku...
Begitulah, jika Allah
nak panggil tak ada tangguh-tangguh lagi,tak ada nanti-nanti lagi, kita manusia
yang suka bertangguh-tangguh dan merancang pelbagai perkara yang melibatkan
hal-hal dunia, jika melibatkan akhirat kita suka tangguh, tunggu dulu...ada
banyak masa lagi...begitulah hakikat hidup...
Dalam pada itu,
Mari kita fahami daripada kuliah mursyidku..sungguh besar jasa guru dalam
memberi ilmu untuk mendidik,,marilah kita memahaminya sebelum kita pula
dipanggil mengadap ilahi..
Apa Maksud Allah Memerintahkan Kita Berpuasa Selama Sebulan Pada Setiap Tahun?
Merujuk kepada Al-Quran, tujuan berpuasa adalah untuk bertaqwa. Allah
berfirman dalam surah
Al-Baqarah ayat 183, ertinya;
“ Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan
berpuasa sebagai mana yang diwajibkan ke atas orang-orang
yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa”
Berpuasa rupanya dapat mengakibatkan seseorang hamba Allah bertaqwa
kepada Tuhannya yakni bilamana Ramadhan dilalui dengan tepat dan penuh
penghayatan. Kalau bukan caranya, berpuasa di bulan Ramadhan hanya menghasilkan
lapar, dahaga dan keletihan sahaja, sia-sia.
Dalam setahun kita telah melalui berbagai-bagai cabaran hidup yang boleh
merosakkan ketaqwaan kita kepada ALLAH. Bila manusia tidak bertaqwa, mereka
akan hilang wibawa dan kemanusiaan. Manusia menzalim, menindas, menipu,
mementingkan diri, jatuh menjatuhkan, hasad dengki, pemarah, takabur, bakhil,
berdendam dan lain-lain. Masyarakat manusia tidak lagi
berkasih sayang, bekerjasama., bertolak ansur dan bertolong bantu.
Sebaliknya akan berebut-rebut, berkrisis, bertelagah dan berperang.
Peperangan antara suami isteri, anak dengan ibubapa, murid dengan guru, buruh
dan majikan, rakyat dengan pemimpin dan lain-lain. Manusia hilang kemanusiaan.
Masyarakat manusia tidak berwatak manusia lagi! Bertukar kepada watak
syaitan dan haiwan.
Allah SWT yang Maha Adil lagi Bijaksana, yang menjadikan manusia ,tahu
di mana kekuatan dan kelemahannya, tahu bagaimana menguatkan yang lemah,
menyuburkan yang kuat, tahu punca kekuatan dan kelemahan,
telah memilih sebulan Ramadhan untuk jadi ubat kepada setahun penyakit.
Berpuasa dan ibadah-ibadah tambahan Ramadhan itu mampu menyelesaikan
masalah-masalah selama setahun. Umpama kereta yang letih dan lemah setelah
setahun digunakan, overhaul sebulan cukup untuk sihat semula. Ya,
Ramadhan datang untuk overhaul manusia supaya dapatkan
kemanusiaan semula.
Rugilah orang-orang yang gagal menjadikan ibadah-ibadah
Ramadhan untuk membaik pulih kemanusiaan mereka. Macam ruginya orang yang
diberi kereta tapi tidak pandai mengguna atau tersalah guna.
B. Bagaimana Ramadhan Overhaul Hati Manusia?
Terdapat pakej ibadah yang cukup hebat dan berkesan, kuat menguat
satu sama lain, supaya manusia dibaik pulihkan sepanjang Ramadhan.
Allahlah yang punya pakej ini Maha pakar dalam merawat jiwa, fikiran dan
fizikal manusia supaya kembali suci sesuci fitrah semulajadinya. Pakej itu
ialah ibadah puasa, terawih, baca Quran, zikir, tasbih, paling asas adalah
mujahadah untuk melawan nafsu. Seseorang yang sanggup melakukan keseluruhan
pakej ibadah ini dengan serius dan penghayatan, sungguh akan memperolehi
satu kekuatan roh, mental dan fizikal untuk meneruskan perjuangan sebagai hamba
dan khalifah Allah di muka bumi. Membawa bersamanya segala sifat-sifat
baik seorang manusia seperti merendah diri, pemurah, berkasih-sayang
terutama dengan orang miskin dan susah, tawakkal, sabar, tenang, adil,
berbaik sangka, sanggup meminta maaf dan memberi maaf, bertolak ansur,
jujur, mementingkan orang lain dan lain-lain. Kalau ada manusia begini, dimuka
bumi ini dan tentunya ada, ketahuilah bahawa pada merekalah Allah akan
pusakakan bumi ini untuk ditadbir. Sebab Allah berjanji untuk menutup bumi ini
dengan keadilan oleh orang-orang yang mereka itu cintakan Allah dan Allah juga
cintakan mereka.
C. Bagaimana Ibadah Memproses Ketaqwaan Manusia
Allah jadikan manusia makhluk yang wajib berusaha dan berikhtiar untuk
berjaya dalam apa juga bidang. Kejayaan tidak jadi sendiri kepada manusia.
Manusia perlu bertarung, berjuang untuk kejayaan besar mereka. Nelayan
mengharungi gelombang laut, petani melawan panas terik, ibu bertarung
dengan kesusahan melahirkan anak, bapa tercabar dalam melakukan tanggung jawab
pada keluarga, guru berhadapan dengan ragam murid, pemimpin paling teruk
berhadapan dengan 1001 jenis kesusahan dalam kepimpinan. Untuk mengalahkan
nafsu dan syaitan, Allah mewajibkan peperangan yang paling besar dan dahsyat
yang tak dapat dilihat oleh mata kerana ia bersifat rohani dan maknawi.
Hanya orang yang mampu melepasi halangan-halangan nafsu sahaja yang layak
mendapatkan taqwa. Ketaqwaan adalah sijil atau ukuran paling mulia untuk
seseorang manusia menjadi sesempurna manusia . Tanpa taqwa, PhD, harta, pangkat
tidak menjamin manusia dapat dikembalikan kepada kemuliaan yakni
kemanusiaannya. Orang kaya, berpangkat dan berijazah tapi yang bertuhankan hawa
nafsu akan jadi sejahat-jahat manusia sedangkan dengan taqwa, orang miskin pun
jadi mulia apa lagi kalau orang kaya yang bertaqwa!
Sebab itulah saya katakan ibadah paling asas dalam pakej
Ramadhan ialah mujahadah terhadap nafsu. Yakni usaha-usaha memaksa
diri sendiri untuk melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangannya.
Mujahadah ialah sanggup menyiksa diri sendiri dalam usaha untuk menunaikan
perintah-perintah Allah kerana kebaikan yang diperintahkan bertentangan dengan
kehendak nafsu liar dalam diri. Contoh, untuk berkasih sayang seperti yang
Allah Taala perintahkan, seseorang sanggup menelan marahnya pada seseorang
dengan penuh sabar. Tahan marah dan sabar itu sungguh menyiksakan .
Orang-orang yang tahu selok beloknya sahaja yang boleh melakukan dengan
pertolongan Allah. Mujahadah memang menjemukan, nafsu benci dan meletihkan
. Siapa sanggup tersiksa atas cita-citanya? Hanyalah orang yang berjiwa
besar. Sebab letih fizikal boleh rehat, tapi perang dengan nafsu tak boleh
rehat-rehat. Kalau rehat nafsu lagi manja dan mengada-ngada. Perang yang
tak rehat-rehat inilah dikatakan perang paling berat dan dahsyat.
Terdapat tiga pemangkin yang Allah sediakan untuk mendorong mujahadah
ini di Bulan Ramadhan iaitu:
1.
Puasa yang dihayati
2.
Sembahyang yang khusyuk
3.
Baca Quran yang dijiwai
Mujahadah adalah satu jalan
Untuk seseorang menuju Allah
Tanpa mujahadah adalah mustahil
seorang hamba sampai kepadaNya,
Kerana yang menjadi
penghalang Seseorang itu menuju Allah, Ialah syaitan dan nafsunya,
Tapi nafsu adalah lebih
menghalang Dari syaitan laknatullah
Kehendak nafsu dengan
kehendak Tuhan Biasanya selalu sahaja berlawan,
Disinilah perlunya
bermujahadah Bersungguh dan bermati-matian,
Bermujahadah adalah sangat
menjemukan,
Bermujahadah adalah
terseksa dan menyakitkan,
Tapi disinilah pahalanya Yang
besar dari Tuhan,
Bermujahadah ada kalanya
Sangat susah dan payah,
Ada juga dengan rahmat
Tuhan Bermujahadah dipermudahkan,
Tapi para rasul dan para
nabi
Dengan anugerah Tuhan
dipelihara Tuhan, Mereka diberi kelebihan
Tanpa mujahadah menuju
Tuhan,
Mereka itu orang istimewa
dan orang Tuhan,
Terlepas daripada syaitan dan
bebas daripada nafsunya,
Mereka adalah orang pilihan
Tuhan,
Kerana mereka hendak
dijadikan Contoh dan ikutan,
Mereka itu benar-benar
orang Tuhan dan wakil Tuhan,
Untuk diikut oleh manusia
berbagai-bagai lapisan
Kita yang bukan rasul dan
nabi ini, Kenalah bermujahadah,
Di dalam bermujahadah
mintalah pertolongan dengan Tuhan,
Agar dibantu Tuhan di dalam
bermujahadah Melawan nafsu dan syaitan,
Bertawasullah selalu dengan
Rasul dan mursyid,
Meminta tolong di dalam
bermujahadah Agar dimudahkan oleh Tuhan,
Bermujahadahlah secara
istiqamah dan jangan jemu-jemu,
Nanti dengan rahmat Allah mujahadah kita dipermudahkan.